rap

'Versi Hindi kerana minat Bollywood' - Aizat

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PENYANYI, Aizat Amdan yang baru melancarkan single terbarunya berjudul Sampai Ke Hari Tua menghasilkan versi Hindi pula untuk lagu itu.

Ditemui pada pelancaran single itu, hari ini Aizat berkata, versi Hindi dibuat kerana rasa cintanya dan abangnya, Anas selaku penerbit lagu Sampai Ke Hari Tua, terhadap lagu dan filem Bollywood.

"Dari kecil, Bollywood diterima baik di Malaysia jadi kami fikir mahu mencuba buat sesuatu yang baru untuk peminat.

"Versi asal lagu itu pun sudah ada elemen Hindustan pada permulaan lagu, jadi inilah peluang untuk membuat versi lain," katanya.

Mereka beranggapan percubaan menghasilkan lagu versi Hindi pasti membawa elemen menarik.

Katanya, bahasa Hindi adalah bahasa indah dan mempunyai sisi romantiknya tersendiri.

Untuk itu, dia mendapatkan khidmat terjemahan daripada sahabat mereka dikenali Jassi yang boleh berbahasa Hindi.

Aizat berkata, Jassi turut terbabit dalam sesi rakaman untuk memastikan sebutan dan nyanyiannya betul.

Dia tidak menafikan untuk menghasilkan versi Bahasa Mandarin pula pada dalam masa terdekat.

"Bapa ada menyatakan hasrat mahu melihat saya menyampaikan lagu dalam bahasa selain Bahasa Malaysia terutama Mandarin.

"Jujurnya saya dan abang agak gementar tapi selepas melihat beberapa penyanyi tempatan berjaya di luar negara menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa, rasanya kami patut cuba," katanya lagi.

Versi Hindi lagu itu dilancarkan di semua pelantar digital bermula 27 April ini manakala versi Mandarin pula bakal dirakam dan dilancarkan pada 11 Mei depan.

Video muzik versi asal lagu itu sudah mencatat lebih 1.3 juta tontonan di Youtube Vlog Aizat sejak dilancarkan pada 15 Februari lalu.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 10:38pm
d