rap

Ubati rindu peminat

Oleh Riadz Radzi & Michelle Gun

Persembahan Man Bai di The Camelot, Hotel Royale Chulan, Damansara, baru-baru ini, berjaya mengubat kerinduan peminatnya.

Rata-rata penonton pada malam itu puas hati dengan persembahan Man Bai yang pernah menjadi kegilaan satu ketika dulu.

Tambahan pula, persembahan itu turut mengundang penyanyi bertaraf legenda Rahim Maarof dan Zamani Slam.

Namun, apa yang dilihat Rahim dan Zamani berjaya ‘mencuri’ perhatian berbanding Man Bai.

Bukannya persembahan Man Bai tidak menarik atau bagus, tetapi kehadiran Rahim yang sudah lama ‘hilang’ dan Zamani yang popularitinya mungkin lebih sedikit daripada Man Bai buatkan penonton lebih teruja.

Bila agaknya kali terakhir Rahim muncul dalam mana-mana program hiburan, televisyen atau persembahan terbuka? Ramai yang tidak tahu.

Sebelum itu, Rahim dalam temubual bersama akhbar ini mendakwa dia masih aktif menyanyi terutama di majlis makan malam atau majlis tertutup.

Namun, dia mengakui sudah lama tidak muncul di TV atau cerita mengenainya disiarkan di media.

Sehubungan itu, kehadiran Rahim pada malam itu pastinya dinanti-nanti.

Rahim tidak menghampakan penonton apabila menyanyikan dua lagu berhantunya iaitu Cinta Kristal dan Jangan Kau Rayu.

Dalam usia mencecah 62 tahun, Rahim mampu membawakan lagu berkenaan dengan amat baik sekali. Dia turut membawakan lagu Hipokrasi dan lagu bonus Istana Menanti yang dinyanyikan dengan iringan piano oleh Belle Fatah.

Zamani pula yang dikatakan tidak sempat berlatih lagu Gerimis Mengundang juga berjaya membawakan lagu itu dengan baik.

Selaku ‘tuan rumah’ pada malam itu, Man Bai tidak mengecewakan dan aura popularitinya masih kuat.

Vokalnya masih mengancam dan Man Bai bukan sekadar penyanyi, tetapi juga penghibur. Dia bijak berkomunikasi dengan penonton.

Dalam persembahan anjuran MC Boyer Entertainment itu, Man Bai membawa 10 lagu daripada album solo dan ketika bersama Gersang seperti Gadis Chiangmai, Positif, Sunyi, Bersama Suara Hati, Jump, Tolol, Masih Aku Terasa, Bayangan Mimpi, Suratan Takdir dan Kau Ilhamku.

Mereka diiringi pemuzik berpengalaman seperti Along Exists (gitar), Pacai (bass), Tom (dram), Roza (keyboard), Badar (percussion) dan Imran (seksofon).

Man Bai ketika ditemui selepas persembahan berkata, dia seronok dapat menghiburkan peminatnya dalam persembahan secara santai.

“Terharu melihat mereka masih mengingati saya dan datang menyokong persembahan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Man Bai turut bersyukur apabila persembahannya bersama Gersang di Anugerah MeleTop Era, baru-baru ini, diterima baik penonton.

“Saya mendapat banyak maklum balas positif. Kami membuat latihan dan persiapan selama dua hari sebelum acara itu,” katanya.

Menurut Man Bai, dia merancang mengeluarkan lagu baru bersama Gersang dan single solo tidak lama lagi.

Sementara itu, pemilik MC Boyer Entertainment, Sherry Nordin berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan Konsert 3V menggabungkan Man Bai, Rahim Maarof dan Zamani selepas Aidilfitri nanti.

“Ia akan diadakan di beberapa lokasi Hotel Royale Chulan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Seremban dan Cherating, Pahang,” katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2018 @ 4:29am
d