rap

Idam watak wanita pejuang

Oleh Ramlah Zainal

Selepas tampil langsing, Catriona Ross mengakui ia menyuntik semangat untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Scotland ini juga tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon drama dan telefilem ketika ini.

“Saya sudah kembali aktif berlakon sejak tahun lalu. Selepas berlakon watak Mama Ijah dalam drama bersiri 15 episod Dekatkan Jarak Kita, banyak tawaran berlakon diterima hingga saya terpaksa menolaknya.

“Sebagai pelakon serius dan berpengalaman, saya mahu memilih watak yang lebih mencabar lakonan sedia ada,” katanya.

Drama terbitan JS Pictures Sdn Bhd yang menggandingkan Ayda Jebat dan Syafik Kyle juga mencecah rating sembilan juta penonton di Slot Samarinda TV3 sebelum ini.

Antara projek drama baru lakonan Catriona ialah Jangan Benci Cintaku bersama Saharul Ridzwan dan Zahirah MacWilson dan Dekatkan Jarak Kita Raya yang akan menjalani penggambaran bulan depan.

Catriona berkata, dia juga menolak melakonkan watak ibu berusia 45 tahun ke atas.

“Saya bakal mencecah usia 38 tahun pada September nanti. Saya juga tidak mahu melakonkan watak ibu berusia yang memiliki anak dewasa.

“Saya juga tidak mahu watak ibu sekadar tempelan dalam drama yang bertanya sama ada anak sudah makan atau belum? Jika watak ibu tiri memiliki anak yang sudah besar, saya boleh terima lagi.

“Saya berharap penerbit dan pengarah drama perlu lebih realistik dalam perkara ini terutama jika membabitkan pelakon serius dan lebih berpengalaman,” katanya.

Mengenai watak diimpikan pula, kata Catriona yang mula dikenali dalam drama Sephia, dia mahu melakonkan watak wanita yang berjuang untuk masyarakat.

“Saya tidak impikan watak heroin kerana ramai bakat baru yang juga pelakon muda yang mewarnai bidang seni ketika ini.

“Saya impikan watak ibu yang mencabar seperti wanita berjuang untuk masyarakat. Contohnya, lakonan Julia Robert dalam filem Erin Brockovich.

“Selain itu, watak ibu yang membesarkan anak autisme kerana saya juga memiliki anak sedemikina,” katanya.

Tidak sorok anak autisme

Pasti ramai yang sudah tahu Catriona juga memiliki anak lelaki, Jammal Raess, 5, yang juga pesakit autisme.

Menurut Catriona, dia juga tidak berasa malu atau menyorokkan anak lelakinya yang sudah berusia lima tahun setengah itu daripada masyarakat.

“Selepas dapat tahu anak lelaki menghidap autisme, saya terus menghubungi penyanyi Fynn Jamal untuk meminta nasihat dan sokongan daripadanya.

“Fynn juga sangat terbuka apabila bercakap mengenai anak istimewa. Saya juga sudah reda kerana menjadi ibu yang terpilih memiliki anak autisme itu,” katanya.

Catriona berkata, dia juga mahu tampil ke depan untuk menjadi inspirasi kepada ibu lain yang memiliki anak autisme.

“Kenapa kita perlu sorok anak autisme di rumah kerana mereka juga memiliki hak untuk hidup sama seperti kanak-kanak lain?.

“Saya juga menghantar Jamal ke sekolah khas untuk pesakit autisme demi masa depannya,” katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan Shaharuddin Mokhtarudin, 38, Catriona dikurniakan tiga anak iaitu Sephia Rania, 7, Jammal dan Edruce Riyadh, 2.

Dalam perkembangan lain, Catriona juga merancang berehat seketika daripada bidang lakonan selama tiga bulan untuk fokus kepada sesi latihan membina otot tubuh.

“Saya memang mengamalkan cara hidup sihat sekarang. Berat badan kini mencecah 58 kilogram dan saya perlu menurunkan kepada berat badan ideal sebanyak 55 kilogram.

“Saya juga berkongsi cara hidup sihat dengan pengikut di Instagram yang kini mencecah 174,000 orang.

“Suami juga menghargai dan menyokong minat saya dalam mengamalkan cara hidup sihat ini termasuk memasak sajian sihat untuk keluarga di rumah,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 11:59am
d