rap

Tangguh dulu berlakon

Oleh Georgie Joseph

Sherry Ibrahim, 35, berazam lebih serius dalam bidang perniagaan dan tidak akan sesekali bersikap lepas tangan.

Sherry juga sanggup mengetepikan kerjaya lakonan buat seketika demi mengukuhkan perniagaan diusahakan.

Sherry berkata, dia perlu ikhlas dan fokus bagi memastikan perniagaannya terus berkembang.

“Saya tidak mahu main-main dalam hal ini. Untuk apa juga produk yang diusahakan, saya sendiri akan turun padang bagi menyelesaikan masalah terutama dengan pelanggan,” katanya yang ditemui pada majlis minum petang Deeja Cosmetic, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Sherry juga menolak dan tidak berminat menggunakan pendekatan publisiti murahan sebagai strategi pemasaran produknya.

Baginya, fokus kepada penambahbaikan kualiti produk lebih penting dan seharusnya menjadi keutamaan setiap peniaga.

“Saya akui memang ramai menggunakan strategi tular sebagai satu daripada cara untuk memperkenalkan sekali gus melariskan produk.

“Bagaimanapun, saya percaya jika kita buat sesuatu perkara dengan baik pasti hasilnya juga baik. Saya juga percaya dengan kualiti produk dan strategi pemasaran yang sedia ada iaitu mendekati pelanggan dengan cara turun padang,” katanya.

Sementara itu, Sherry kini dalam proses menghasilkan single kedua selepas tampil dengan lagu Seikhlas Cinta dua tahun lalu.

Dia kini lebih memilih walaupun menerima tawaran lagu daripada beberapa komposer.

“Kali ini saya mahu lagu yang berentak riang. Pastinya saya akan mencari lagu yang benar-benar boleh memuaskan hati dan relevan untuk pendengar sekarang,” katanya.

‘Biarlah saya simpan saja ceritanya’

Mengakui rapat dengan seseorang ketika ini, namun Sherry tidak mahu terlalu bercerita mengenai kisah cintanya dan lebih selesa bersederhana dalam hubungannya.

Menurutnya, dia juga tidak berhasrat mendedahkan identiti lelaki terbabit buat masa ini.

Bagaimanapun, dia bersyukur hubungannya dengan lelaki itu berjalan lancar.

“Jodoh rahsia Allah. Setakat ini, kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing dan dia sangat menyokong apa saya lakukan.

“Saya menetapkan dua jenis gaya hidup untuk diri iaitu satu dikongsi kepada umum dan satu simpan sebagai hal peribadi. Saya lebih selesa untuk tidak mendedahkan banyak mengenai kehidupan saya.

“Walaupun sudah berusia 35 tahun, saya akan tetap dengan pendekatan sebegitu. Lebih baik saya tumpukan kepada kelangsungan projek lain yang sedang usahakan,” katanya.

Ditanya mengenai hari bahagianya pula, Sherry berjanji berkongsi berita itu sekiranya dia berkahwin nanti dan tidak mahu merahsiakannya.

Menurutnya, dia tidak melihat perlu ada sebab untuk berdiam diri mengenainya.

“Semestinya saya akan hebahkan kepada semua jika mahu berkahwin nanti. Perkara yang baik perlu kita kongsi,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 2:30am
d