rap

'Mereka rindu saya' kata Misha

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Misha Omar tidak menyangka peminat memberi sambutan mengalakkan apabila ramai dalam kalangan mereka menggunakan hashtag #MishaOmarIsBack di media sosial.

Misha atau Samihah @ Aisah Omar, 36, berkata, sambutan baik itu diterima selepas memuat naik video 'teaser' single terbarunya berjudul Sampai Bila yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Saya sendiri tak sangka mereka betul-betul nak saya kembali dengan single baru.

"Sebelum ini, memang ada peminat jumpa dan cakap mereka rindukan kemunculan saya. Saya fikir mereka cuma nak ambil hati saya.

"Tapi, bila saya kongsikan video 'teaser' single baru saya berjudul Sampai Bila, ramai pula yang membuat video 'cover' dan menggunakan hashtag #MishaOmarIsBack," katanya kepada Harian Metro.

Misha mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada peminat-peminat setia yang tidak pernah berhenti menyokongnya.

"Walaupun dah lama tak keluar single solo, mereka masih menyokong saya. Terima kasih saya ucapkan dan saya sangat hargai sokongan mereka," katanya.

Sehingga kini, di Instagram saja sudah ada hampir 300 video nyanyian cover peminat-peminat Misha yang dimuat naik dan menggunakan hashtag #MishaOmarIsBack.

Kali terakhir Misha hadir dengan single solo adalah Angin Syurga pada 2012 dan single duet bersama Hafiz, Terimaku Seadanya, tahun lalu.

Sampai Bila adalah lagu baru ciptaan komposer, Sharon Paul manakala lirik ditulis Ahmad Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 5:27pm
d