rap

Duet dengan anak

Oleh Norhayati Nordin

Meskipun industri hiburan terutama bidang muzik didominasi bakat baru, penyanyi dangdut Sheeda, 54, tidak gentar meneruskan perjuangannya.

Sheeda yang pernah popular dengan lagu Angkat Kaki pada era 90-an akan muncul dengan dua single baru tidak lama lagi.

Pemilik nama sebenar Rashidah Hamid ini tidak sabar memperdengarkan lagu solo berjudul Angkat Tangan manakala satu lagi lagu, dia berduet dengan anaknya, Norfazlinda Ahmad Fazli atau Aleen, 18.

Sheeda berkata single duet dia dengan Aleen yang masih bergenre dangdut berjudul Sakiti Hati Ini.

“Terus terang, saya sangat teruja untuk muncul dengan single solo dan duet yang sudah siap dirakam.

“Apatah lagi, perancangan sudah lama dibuat tetapi ketika itu Aleen masih bersekolah dan saya lebih mengutamakan pelajarannya.

“Malah, saya juga tidak mahu Aleen berasa terpaksa mengikut jejak langkah saya menyanyikan lagu dangdut.

“Bagaimanapun, sangkaan saya meleset kerana Aleen ternyata berminat menyanyikan lagu bergenre dangdut,” katanya.

Sheeda berkata dia sangat menghormati minat anaknya termasuk genre muzik yang menjadi pilihan mereka.

“Saya tak suka memaksa. Cuma alhamdulillah Aleen mahu berduet dengan saya walaupun lagu dangdut.

“Bagaimanapun, terus terang saya katakan susunan muzik untuk dua single ini menjurus genre dangdut moden.

“Seiring perkembangan muzik hari ini, saya berusaha memastikan genre dangdut dapat diterima pendengar generasi muda,” katanya.

Sheeda berkata selain memberi tumpuan pada dua single itu, dia juga sudah menyiapkan album baru.

Ujarnya, segala urusan berkaitan promosi dan publisiti dijangka dilakukan selepas sambutan Aidilfitri nanti.

“Sekarang kurang sesuai untuk melancarkan single atau album kerana tumpuan masyarakat terarah kepada pilihan raya umum (PRU) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Selepas itu, orang berpuasa pula dan saya mahu berehat untuk fokus melakukan ibadat,” katanya.

Berbicara juga mengenai kehidupan peribadinya, ibu penyanyi Bienda itu kini bahagia di samping suami tercinta, Sukri Hashim, 37.

Perbezaan jarak usia 17 tahun nyata bukan halangan untuk pasangan dua sejoli itu menyulam bahagia.

Sudah 11 tahun hidup bersama, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Aiman, 10.

Sheeda yang juga disayangi ibu mentuanya mendapat gelaran ‘menantu emas’. Katanya, gelaran itu diterima kerana hubungan baik dan rapat dengan ibu mentuanya.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 2:39am
d