rap

'Suami memang pemalu' - Fiza Frizzy

Oleh Georgie Joseph

PENGACARA, Fiza Frizzy menafikan dia menyorokkan perkahwinan dan identiti suaminya apabila tidak berkongsi gambar perkahwinan atau gambar berdua di media sosial.

Fiza, 30, sebaliknya mengatakan suaminya juga pemain bola sepak Kuantan FA, Fazli Zulkifli, 36, adalah jenis pemalu dan tidak merasakan kebahagiaan mereka perlu dikongsi kepada umum.

“€œBukan sorok tapi suami saya jenis pemalu. Sebenarnya sebelum kahwin lagi pun saya ada niat mahu naik gambar berdua namun dia cakap tak payah dan lepas kahwin baru berbuat demikian.

“Apabila sudah terbiasa tidak memuat naik gambar berdua, ia terbawa-bawa sampai sekarang dan tak rasa kepentingannya pun untuk dikongsi. Lagipun dia sendiri tiada akaun media sosial.

“Terus-terang kami lebih selesa begitu di mana dia sendiri sentiasa menekankan untuk tidak terlalu melekat dengan media sosial. Setiap kali bersama, kami menyimpan telefon bimbit masing-masing,” katanya.

Fiza juga bersyukur apabila rezekinya selepas berkahwin semakin melimpah.

“Saya kini sudah berbadan dua namun masih di peringkat awal. Ia semestinya rezeki yang sangat menggembirakan apalagi suami mahu memiliki cahaya mata secepat mungkin.

“Begitu juga dengan tawaran pengacaraan nampaknya semakin rancak. Boleh dikatakan setiap waktu terluang saya terisi dengan tawaran kerja jika tidak mengacarakan program CJ Wow Shop,” katanya.

Fiza dan Fazli sah bergelar suami isteri pada 18 Februari lalu dalam majlis yang sangat ringkas dan hanya menjemput ahli keluarga, rakan dan kenalan terdekat saja.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 2:41pm
d