rap

Adam tidak terburu-buru

Oleh Ardini Sophia Sina

Jejaka berusia 27 tahun ini mung­kin masih baru dalam industri hiburan tanah air.

Namun, Adam Shadan sudah diberi peluang berlakon dalam drama bersiri dibintangi pelakon hebat iaitu Titian Cinta dan Ti Amo Sweetheart 100 Hari yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Walaupun hanya memegang watak pembantu, Adam sudah mampu mengukir senyuman.

Mungkin momentum kerjayanya agak perlahan, tetapi sinarnya sebagai pelakon sudah mula kelihatan.

Anak jati Jeli, Kelantan ini tidak pernah berputus asa menonjolkan bakatnya. Dia yang lahir daripada uji bakat Drama Festival Kuala Lumpur 2017 (DFKL) sentiasa berfikiran positif.

Katanya, kehadirannya yang semakin disedari ramai sudah cukup membuatkan hatinya lega. Itu cabaran pertama harus dilaluinya demi mencapai impian sebagai pelakon berkaliber.

“Saya tidak kisah jika diberikan watak pembantu. Saya masih baru dan banyak lagi perlu saya tingkatkan. Ini situasi normal yang akan dihadapi mana-mana pelakon.

“Saya sentiasa positif bahawa akan tiba masanya saya boleh berjaya sama seperti pelakon lain. Saya menjadikan Izzue Islam sebagai idola dan ingin dikenali seperti dia,” katanya.

Tidak hanya dalam bidang lakonan, Adam juga menerima tawaran untuk berlakon dalam iklan komersial untuk beberapa jenama terkemuka seperti Dashing, Castrol dan McDonalds.

Tidak terburu-buru untuk popular, dia turut mengambil kelas lakonan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bagi memantapkan teknik lakonannya.

Tahun lalu, dia pernah memberikan kenyataan bahawa loghat Kelantan yang menjadi pertuturannya agak pekat menyebabkan tawaran lakonan terbatas.

Namun, Adam cuba memahirkan bertutur dalam bahasa Malaysia standard.

“Alhamdulillah, sekarang sudah banyak perubahan. Saya boleh belajar menggunakan bahasa Melayu standard, tetapi mengambil masa. Bagaimanapun, saya sesekali tidak akan menjadikan perkara ini sebagai pematah semangat.

“Seperti saya katakan, Izzue yang juga pelakon dari Kelantan adalah rujukan saya. Ada beberapa lagi artis dari Kelantan yang berjaya. Kalau mereka boleh, pasti saya juga dapat lakukan hal yang sama,” katanya.

Namanya mungkin masih belum cukup dikenali di Malaysia, namun siapa sangka Adam sudah mempunyai peminat di Indonesia dan Singapura.

Malah, peminat dari negara itu sudah merancang untuk ke Malaysia bagi mengadakan sesi ramah mesra dengan Adam.

Bagaimanapun, kata Adam, masih belum ada kata putus untuk acara itu.

“Syukur mereka kenal dan menyukai cara lakonan saya. Mereka ada nyatakan hasrat untuk datang ke Malaysia dan bertemu dengan saya. Saya dan pihak pengurusan sedang membincangkan lagi perkara ini.

“Kalau mendapat sambutan yang menggalakkan, saya mungkin akan buat sesi ramah mesra bersama pada Ramadan nanti. Bolehlah saya berbuka puasa dengan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 2:25am
d