rap

Bella tidak mahu dibayangi suami

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Bella Dally mengambil keputusan menggunakan khidmat pengurus bagi mengatur kerjaya seninya kerana tidak mahu terus dibayangi suaminya yang juga pelakon, Nazim Othman.

Bella atau Nabilah Ali Dally, 27, berkata selepas hampir dua tahun berkahwin sudah tiba masanya dia membina kerjaya sendiri tanpa perlu menumpang nama dan populariti Nazim.

"Diakui selepas berkahwin orang lebih kenal saya sebagai isteri Nazim. Saya okey dan tidak ada masalah pun. Dalam masa sama saya juga ingin berdikari dan dikenali dengan nama sendiri.

"Disebabkan itu, pertemuan dengan pengurus, Mami Aina awal tahun ini saya anggap tepat pada waktu. Kebetulan saya mencari orang yang boleh 'push' untuk ke depan sekali gus boleh menjenamakan semula nama saya.

"Sebelum berkahwin saya menguruskan kerjaya sendiri. Saya pernah cuba bekerjasama dengan pihak lain, tetapi gagal. Saya harap kerjasama dengan pengurus baru panjang," katanya kepada Harian Metro.

Dalam perkembangan lain, Bella kekal sebagai duta sebuah jenama untuk tahun ketiga.

Pengumuman dibuat bersempena pertunjukan fesyen syarikat itu, baru-baru ini.

"Alhamdulillah, terima kasih atas kepercayaan diberikan. Sejujurnya saya bangga kerana menjadi sebahagian keluarga jenama terbabit.

"Saya bukan nak jadi kaki ampu, tetapi diakui saya pengguna jenama ini. Selain tudung, 80 peratus koleksi baju saya daripada jenama ini. Jadi, saya berharap dapat terus bekerjasama dengan mereka," katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 1:05pm
d