rap

Akui silap selepas dikecam

Oleh Michelle Gun

SELEPAS dikecam teruk netizen, penyanyi Ara Johari akhirnya mengakui kesilapan merakam dan memuat naik sedutan pendek filem Avengers: Infinity War di akaun Instagram Story miliknya.

Penyanyi lagu Bunga itu memberitahu turut menyedari tindakannya merakam filem ketika dalam tayangan di pawagam, menyalahi undang-undang.

“Saya meminta maaf kepada semua pihak terbabit, dan mengaku membuat kesalahan besar,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, dia tiada niat lain dan sekadar mahu merakam suasana dalam pawagam.

“Durasi video itu cuma 15 saat saja, dan saya rakam skrin serta keadaan di sekeliling,” katanya.

Kata Ara, susulan perkongsian rakaman itu di Instagram miliknya, dia menerima banyak mesej peribadi daripada netizen yang memarahi perbuatannya termasuk menggunakan perkataan kesat.

“Kata-kata kesat seperti anjing dilemparkan segelintir netizen terbabit. Ada juga tegur secara baik.

“Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati agar kejadian sedemikian tidak berulang lagi,” katanya.

Susulan rakaman video itu di Instagram semalam, Ara turut memuat naik status berbaur cabaran dan provokasi apabila mengatakan haknya untuk berkongsi apa saja di akaun media sosialnya, sekali gus menambah lagi kemarahan netizen.

Selain itu, bekas peserta Akademi Fantasia 2016 terbabit turut meminta pengikut yang tidak berpuas hati supaya tidak melihat video di laman Instagram Story miliknya.

Disiarkan pada: April 28, 2018 @ 8:05pm
d