rap

'Selagi boleh, tak nak meminta minta'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PENYANYI pernah popular dengan lagu Segalanya Pasti awal 1990-an, Aida Agil, 59, akui tidak pernah dikunjungi persatuan artis tempatan sejak kisah sedih hidupnya dipapar media, sebelum ini.

"Saya tidak kisah kerana tidak mahu mengharapkan belas ihsan sesiapa tapi saya dapat rasakan memang dipinggirkan persatuan artis tempatan.

"Saya pun tidak pernah meminta-minta dan akan teruskan hidup seperti biasa," katanya tenang.

Penyanyi terbabit disahkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) kerana menghidap penyakit Bell's Palsy yang menyebabkan sebahagian sistem sarafnya terganggu dan lemah sejak tahun 2002.

Katanya, dia masih dijemput membuat persembahan selain mendapat bantuan bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meneruskan hidup.

Dia tinggal sendirian di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru kini menetap sementara bersama adiknya di Taman Daya.

Dalam pada itu, Aida ditemui sempena aktiviti Jejak Santai Artis 90an anjuran rakan-rakan artis 1990-an di Johor Bahru bersyukur masih ada rakan sezaman dengannya sudi berkunjung melawatnya.

Seramai 16 artis era itu antaranya Mac Ruhayu, Hasnol, Tushee, Azie, Haslinda, Haida Hajat, Amy kumpulan Grand, Wan kumpulan Scoin dan Tatty Ismail turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan hamper makanan.

Disiarkan pada: April 29, 2018 @ 4:30pm
d