rap

Nana kembali ke konti

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Sudah lama tidak melihat kelibat pengacara Nana Mahazan mengacarakan program hiburan di kaca televisyen.

Ini kerana pengacara yang memulakan langkahnya di dalam industri menerusi program Akademi Fantasia musim pertama (AF1) itu kini bertugas sebagai penyampai radio yang berteraskan perniagaan.

“Sebelum ini saya pernah cakap tidak mahu kembali bekerja di konti radio kerana terikat dengan komitmen mengacara program TV.

“Namun, apabila tidak lagi aktif di TV, saya terima tawaran menjadi penyampai di EFM yang berteraskan perniagaan dan keusahawan,” katanya.

Menurut selebriti berusia 35 tahun itu, pada awalnya agak sukar membiasakan diri dengan tugasan baru itu memandangkan kemahirannya lebih kepada dunia hiburan.

“Saya mula ke udara pada Januari lalu. Awalnya sangat mencabar kerana saya bermula dari kosong.

“Maklumlah, sebelum ini forte saya lebih kepada hiburan jadi kena belajar banyak perkara untuk memantapkan pengetahuan mengenai dunia perniagaan dan keusahawanan,” katanya.

Namun, dia tidak sesekali patah semangat sebaliknya menggunakan pengalaman yang diraih selama 15 tahun dalam dunia penyiaran untuk diguna pakai dalam kerjaya barunya.

“Slot saya bermula jam 7.30 pagi dan tamat 10 pagi. Ia bukanlah secara langsung memandangkan stesen ini masih baru. Jadi, waktu rakaman lebih fleksibel.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya pun tidaklah terlalu statik ketika bertugas di konti sebaliknya selesa menjadi diri sendiri,” katanya.

Selain itu, Nana juga menjadi pengacara jemputan untuk program Showcase Muzik Muzik yang ditayangkan pada minggu terakhir setiap bulan.

Tidak hanya mengacara dan mengendalikan konti radio, Nana juga aktif di media sosial.

“Saya suka berceloteh dan beberapa kali buat Live Facebook dengan mengulas drama dan sebagainya.

“Ramai yang beri reaksi positif. Kata mereka, mereka suka dengar saya berceloteh,” katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2018 @ 1:07pm
d