rap

Tidak menang tangan

Oleh Norhayati Nordin

Selepas meraih gelaran naib juara program Gegar Vaganza 4 (GV4) tahun lalu, karier nyanyian Liza Hanim mekar semula. Tidak sekadar muncul dengan single baru berjudul Mimpi, Liza juga tidak menang tangan dengan tawaran menjayakan persembahan.

Liza dijadualkan menjayakan dua persembahan istimewa sempena Hari Ibu di ibu kota dan Singapura.

Liza, 39, berkata dia bersyukur dengan rezeki ini dan penerimaan baik peminat setianya.

“Sepanjang saya menyepi, industri hiburan tanah air sudah banyak berubah.

“Saya tidak menyangka masih ramai peminat setia menyokong dan menerima baik kemunculan semula saya. Bahkan, saya sungguh bersyukur dan berasa dihargai,” katanya.

Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, berkata meskipun jadual seninya semakin padat masa bersama keluarga tetap diutamakan.

“Diakui masa bersama keluarga kian terhad apabila menyanyi kembali tetapi sebagai ibu, saya akan pastikan waktu dengan anak tetap ada. Syukur, suami banyak membantu. Ia membuatkan saya berasa tenang untuk bekerja,” katanya.

Persembahan Hari Ibu yang dijayakan Liza di ibu kota akan berlangsung pada 1 Mei (esok) manakala di kota singa pula 6 Mei ini.

Mengulas mengenai pembabitan semula suaminya, Shah yang juga anggota kumpulan Indigo dalam bidang nyanyian, Liza berkata, sekarang bukan masanya lagi.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Gelisah Mimpi ini, buat masa ini biarlah dia seorang saja aktif menyanyi.

“Bukan saya menghalang suami menyanyi semula tetapi kami ada perniagaan yang perlu diuruskan.

“Saya pun tahu minat Shah terhadap nyanyian masih ada dan tidak pernah pudar. Cuma masanya kurang sesuai.

“Lagipun, kalau kami berdua terikat dengan jadual persembahan, bagaimana pula dengan anak dan keluarga? Anak sedang membesar dan perlukan perhatian,” katanya.

Sambung Liza, dia yakin jika ada rezeki dan benar-benar bersedia, Shah akan aktif menyanyi kembali dengan Indigo.

Liza mula bergiat dalam dunian nyanyian pada 1990-an dan pernah popular dengan lagu balada seperti Siapa Sangka Siapa Menduga, Getaran Cinta Di Jiwa dan Andai Aku Bersuara.

Bertemu jodoh dengan Shah atau Mohamed Shahrin Shamsudin pada 2003, pasangan bahagia itu dikurniakan empat cahaya mata.

Disiarkan pada: April 30, 2018 @ 1:09pm
d