rap

Tak ambil hati sikap Sang Hitam

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENYANYI popular lagu Kata Akhirnya, Ariff Bahran tidak mahu ‘ambil pusing’ membabitkan perselisihan faham ditimbulkan oleh pencipta lagu didendangkannya itu, Sang Hitam atau nama sebenar, Shafie Ghazali.

Penyanyi berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu mengakui selisih faham timbul disebabkan sikap Shafie begitu mendesak yang mahukan promosi dibuat bukan saja membabitkan lagu terbabit malah termasuk dirinya sebagai pencipta lagu.

Shafie mendakwa Ariff sering meminggirkan namanya sebagai pencipta lagu bersama Rudy Kasmaran apabila mempromosikan lagu yang menjadi runut bunyi drama bersiri, Cinta Hati Batu.

Menjelaskan lebih lanjut kata Ariff, Shafie bukan saja berkecil hati dengan dirinya sebagai penyanyi tetapi juga dengan beberapa teman lain termasuk rakan komposer, Sirkhan.

“Saya akui kami berkawan tetapi tidaklah rapat. Bagaimanapun Shafie suka mendesak agar dirinya dipromosikan. Apabila kehendaknya tidak diikuti dia mula merajuk dan menjauhkan diri daripada kami semua,” katanya dihubungi, hari ini.

Begitupun perselisihan faham berlaku tegas Ariff langsung tidak memberikan kesan kepada dirinya dan tetap mahu bekerjasama dengan Shafie.

“Kalau kami bergaduh dan tidak bertegur sapa langsung saya masih akan bekerjasama dengannya untuk single kedua dan menyanyikan lagu ciptaannya.

“Saya tidak mahu mencampur-aduk hal peribadi dengan kerja. Merajuk atau apa, saya tidak kisah kerana kerja harus didahulukan kerana inilah kerjaya seni saya,” katanya.

Ariff menjelaskan Shafie aktif menghasilkan lagu untuk beberapa penyanyi popular lain dan bukan menghasilkan Kata Akhirnya saja.

“Isu ditimbulkan itu berlaku di awal kemunculan Kata Akhirnya dan sebaik saja ia menjadi lagu popular perkara itu (perselisihan faham) tidak lagi diperkatakan dalam kalangan mereka.

Disiarkan pada: April 30, 2018 @ 8:35pm
d