rap

Jake utamakan kelainan

Oleh Georgie Joseph

Kredibiliti penyanyi Britain, Jake Bugg sememangnya mengagumkan.

Dia bukanlah antara penyanyi yang namanya besar di peringkat global, namun bakatnya cukup disanjung.

Pada usia 24 tahun, pencapaian Jake sangat membanggakan dan sudah menghasilkan empat album studio iaitu Jake Bugg pada 2012, Shangri La (2013), On My One (2016) dan Hearts That Strain (2017).

Hakikatnya, kejayaan itu berterusan disebabkan peminat sentiasa dambakan kelainan daripada penyanyi kelahiran Nottingham, England ini.

Jake yang hadir ke Kuala Lumpur bagi menjayakan siri persembahan jelajah Jake Bugg Solo Acoustic Tour di The Bee, Publika, baru-baru ini mengakui strategi itu sangat penting buat dirinya sebagai penghibur.

Dia mahu sentiasa memastikan dirinya tampil dengan pelbagai gaya baru terutama apabila berada di pentas.

“Adalah penting buat saya tidak melakukan perkara yang sama. Ia sangat mustahak untuk bawa perubahan.

“Siri jelajah akustik yang saya lakukan sekarang berjaya menaikkan tahap keyakinan di pentas dan interaksi bersama peminat. Tapi kalau berada di festival muzik, seronok apabila dapat menggunakan gitar elektrik bersama band.

“Saya kena sentiasa jadikan persembahan menarik bukan saja untuk peminat tetapi juga kepada diri sendiri,” katanya.

Seperkara unik mengenai Jake tentu sekali suaranya. Nyanyiannya mudah diingat berbekalkan suara yang cukup menarik.

Menurutnya, dia tidak pernah menetapkan nyanyian atau suara tertentu yang paling tepat buatnya.

“Sewaktu kecil dulu, saya selalu cuba menyanyi pelbagai jenis lagu. Saya pernah meniru suara Johnny Cash untuk nada rendah, manakala suara Paul McCartney untuk nada tinggi.

“Saya berterusan mencuba lagu pelbagai genre sampai ke tahap nyanyian tidak lagi menyerupai sesiapa,” katanya.

Jake yang mula bermain gitar dan serius dalam muzik ketika berusia 12 tahun bangga apabila kemahirannya menulis lagu semakin berevolusi.

Katanya, dapat bekerja dengan ramai membantu prosesnya menulis lagu menjadi lebih baik.

“Ya, memang penulisan saya berevolusi. Daripada pengalaman bekerja dan menulis dengan pelbagai orang membuatkan pengetahuan saya terus bertambah.

“Saya dapat lihat banyak perkara semakin diperbaiki dan proses mendapatkan idea kemudian menulisnya semakin mudah,” katanya.

Jarang bekerjasama dengan orang lain, Jake bersyukur apabila memutuskan untuk berbuat demikian dengan penyanyi semakin meningkat naik, Noah Cyrus menerusi lagu Waiting.

Baginya, ia sesuatu yang di luar kebiasaan namun gembira hasilnya begitu memuaskan.

“Saya mencipta lagu itu menggunakan piano. Kemudian saya bawa ia ke studio rakaman dan penerbitnya David Ferguson adalah rakan karib kepada Billy Ray Cyrus yang juga bapa Noah.

“Kemudian dia menyuruh Noah merakamkan vokal untuk lagu itu di Los Angeles sebelum menghantar kembali kepada kami. Saya tidak sangka bunyinya sangat bagus.

“Saya tidak pernah bekerjasama dengan sesiapa sebelum ini, jadi saya tidak pasti mahu mengharapkan apa. Noah memiliki suara yang sangat bagus dan saya sangat gembira dengan hasil akhir itu,” katanya.

Sementara itu, persembahan Jake di The Bee berjaya menarik lebih 1,500 penonton dan tiket persembahannya habis dijual.

Rata-rata penonton pada malam itu menghafal lagu dipersembahkannya.

Berdurasi hampir dua jam, Jake mempersembahkan rangkuman lagu daripada empat albumnya seperti Hearts That Strain, How Soon The Dawn, Saffron, Strange Creatures, Slide, Simple As This, Southern Rain, Trouble Town, Me and You, Bigger Lover, Country Song, Beast dan Slumville Sunrise.

Tidak ketinggalan, lagu paling popularnya iaitu Broken, Good Time Charlie, In The Event Of My Demise, Love We’re Hoping For, Two Fingers, Waiting dan Lightning Bolt.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 4:47am
d