rap

Marsha nafi 'ketepikan' peminat Semenanjung

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI Marsha Milan Londoh menafikan dia meminggirkan peminat setianya dari Semenanjung selepas memilih Kota Kinabalu, Sabah sebagai lokasi konsert sulungnya Marsha & Velvet Live in KK, baru-baru ini.

Marsha, 32, sebaliknya menjelaskan dia memilih lokasi itu disebabkan percaya dengan kredibiliti penganjur iaitu Drum Asia Studio yang mengendalikan sepenuhnya perjalanan konsert itu.

“Sebab utama saya memutuskan konsert diadakan di Sabah adalah disebabkan penganjur terlebih dulu menawarkannya. Lagipun saya bergandingan dengan rakan karib, Velvet Aduk pada konsert itu.

“Tiada kena-mengena pun mahu pinggirkan peminat dari luar Sabah. Bagaimanapun, saya dan Velvet sememangnya mahu konsert pertama kami tinggalkan nostalgia indah dengan beraksi di tempat asal kami.

“Saya memang idamkan konsert di Kuala Lumpur pula selepas ini dan harap dapat berjumpa dengan penganjur yang terbaik. Saya tahu ramai peminat di sini juga lama ternantikan konsert saya,” katanya.

Menurut Marsha, dia juga mahu menggunakan kesempatan itu untuk memperkenalkan lagu barunya bersama Velvet yang berjudul Sumandak Sabah.

Katanya, dia tidak sangka lagu itu diterima baik lebih 500 penonton hadir dan terharu mereka tidak berganjak langsung meskipun hujan lebat.

“Lagu Sumandak Sabah itu bercirikan lagu rakyat dan saya rasa paling tepat untuk diperkenalkan di sana. Tidak sangka mereka sangat menyukainya meskipun pertama kali dengar.

“Paling menyentuh hati apabila mereka sanggup bermandi hujan sepanjang konsert itu dan terus menyokong persembahan kami. Semestinya ia benar-benar meninggalkan kenangan indah,” katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 7:36pm
d