rap

Eyra harap tak jadi sasaran pendengki

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PELAKON drama siri popular Mr Grey, Eyra Hazali, 19, memberitahu sakit menimpa hero drama itu, Fendy Bakry, 30, membuatkannya sentiasa berhati-hati dengan pergerakannya sebagai anak seni.

Eyra atau nama sebenar Hazirah Qasdina Hazali, bersimpati dengan keadaan Fendy dan pada masa sama mahu memastikan dirinya juga tidak menjadi sasaran mereka yang berfikiran negatif.

"Jujurnya saya pun tidak tahu apa penyakit Fendi yang sebenarnya dan saya tidak boleh bercakap lanjut. Cuma dalam bidang seni, kita perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal.

"Sebagai orang Islam kita kena sentiasa ingat Allah. Kita kena jaga diri dan jaga hubungan dengan Allah setiap masa serta hubungan sesama manusia.

"Biasanya saya akan mengerjakan solat lima waktu serta mengamalkan doa-doa yang sesuai sebelum bergerak ke set penggambaran. Ini rutin dilakukan dan Insya Allah dapat menghindarkan perkara-perkara yang tidak elok," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Eyra bersyukur kerana belum menerima sebarang ugutan atau kecaman yang keterlaluan daripada peminat di laman sosialnya.

"Daripada 500 komen cuma ada seorang dua yang komen kurang senang dengan saya. Mungkin usia saya baru 19 tahun tetapi sudah dapat jadi heroin dan ia sukar diterima oleh mereka.

"Tetapi pada saya ini rezeki dan saya dapat menonjolkan bakat sebenar. Biasalah tidak semua orang sukakan kita dan saya tidak anggap ia masalah besar," katanya ditemui pada pelancaran Azura Couture Raya 2018 di kompleks beli belah di Kuala Lumpur.

Ditanya berkenaan perkembangan terkini Fendy, Eyra mengakui belum berkesempatan melawatnya di Perlis dan hanya mendapatkan perkembangan terkini menerusi salah seorang saudaranya.

"Memang saya sedih apabila diberitahu perkara ini. Saya pernah merancang nak melawatnya tetapi dengan jadual yang padat memang sukar saya nak berbuat demikian.

"Esok saya sudah nak bertolak ke Johor untuk memulakan penggambaran filem Ratu Kala Jengking. Sebelum ini ibu saya ada berkomunikasi dengan Fendy menerusi telefon dan rasanya yang balas mesej diaplikasi WhatsApp itu adalah kakaknya.

"Saya tidak tahu bagaimana keadaan dia tetapi mendoakan agar dia cepat sembuh seperti sediakala," katanya meminta peminat turut mendoakan kesihatan Fendy.

Drama Mr Grey arahan Riza Baharudin turut dibintangi pelakon lain seperti Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy, Lisdawati, Gambit Saifullah, Mardiana Alwi, Kayda Roslan dan ramai lagi.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 9:17pm
d