rap

Kuala Lumpur lebih baik

Oleh Norhayati Nordin

Walaupun berasal dari Indonesia, penyanyi dan komposer Yuka Kharisma, 31, lebih selesa menetap di negara ini.

Apatah lagi, dia bertemu jodoh dengan pemuda tempatan yang juga pemuzik profesional, Ahmad Jeffny Kamar, 33.

Bernikah pada Mei 2016, Yuka dan suami kini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ahmad Avisenna yang lahir pada 3 Mei tahun lalu.

Menurut Yuka, selama hampir lima tahun menetap di Malaysia, dia mengakui sangat selesa dan tenang.

“Kalau tanya di antara Jakarta dan Kuala Lumpur, saya akan pilih menetap di Kuala Lumpur.

“Terus terang, saya sangat tenang dan selesa menetap di Kuala Lumpur kerana suasana jalan raya tidak terlalu sesak.

“Kesesakan di Kuala Lumpur rasanya masih terkawal berbanding Jakarta. Tak tahulah, tapi saya memang selesa menetap di Malaysia,” katanya.

Yuka berkata, dia tetap akan pulang ke Indonesia untuk menziarah ibu bapa dan keluarganya.

“Ibu bapa saya kini menetap di Bandung. Jadi, saya memang kadang-kadang akan pulang ke sana. Ibu bapa juga sering berkunjung ke sini untuk menziarah kami,” katanya.

Tidak mengelak apabila ditanya mengenai peribadinya, Yuka yang pernah menempa nama di pentas Indonesian Idol mengakui kehidupannya kini sudah lengkap.

“Selepas berkahwin dan kini mempunyai cahaya mata, saya berasakan kehidupan sebagai seorang wanita lengkap sepenuhnya.

“Mempunyai suami dan anak memerlukan saya bijak menguruskan masa untuk keluarga dan kerjaya.

“Saya bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan suami yang turut membina karier dalam bidang muzik,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan kerjaya nyanyiannya, Yuka berkata, dia juga sibuk dengan penciptaan lagu.

“Rezeki saya dalam bidang muzik masih ada dengan mencipta lagu untuk beberapa penyanyi. Selain itu, saya masih menerima tawaran persembahan nya­nyian. Jadi, rasanya kerjaya nyanyian tetap bernafas,” katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 3:08am
d