rap

Semarak perpaduan

Oleh HM Digital

Jasa bakti anak seni dalam meluaskan kuasa muafakat melalui perpaduan kaum tidak pernah dinafikan oleh mana-mana pihak.

Memegang kata kunci itu, penyanyi popular era 1970-an, Datuk DJ Dave tidak mahu melepaskan peluang mengeratkan perpaduan rakyat menerusi siri konsert Harmoni: Kawan Setia yang berlangsung di Dataran Bagan Datuk, Perak, baru-baru ini.

Dave yang juga Presiden Yayasan Artis 1Malaysia itu bergabung dengan penyanyi popular antaranya Datuk M Daud Kilau, Datuk Dhalan Zainuddin, Poe, Riot Kool dan penyanyi Indonesia, Tegar. Dua pelawak popular Hamid Gurkha dan Abon turut tampil menghiburkan penonton.

Konsert yang menerima kehadiran lebih 5,000 penonton itu diacarakan Khaty Azean dan Ehsan.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dave berkata, dia mahu rakyat menggunakan perpaduan sebagai senjata dalam memartabatkan negara di mata dunia.

“Masyarakat sekarang semakin meminggirkan erti dan nilai dalam persahabatan, tidak menghargai rasa cinta serta kasih sesama kita. Kita mesti mengembalikan semula perpaduan dan kemakmuran itu dan melalui konsert ini kita terapkan rasa kasih sayang sesama masyarakat.

“Konsert ini tidak ada agenda politik tertentu atau mementingkan diri sendiri, sebaliknya kita kena lihat secara positif dan faham objektif sebenar konsert ini diadakan,” katanya.

Dave berkata, dia juga amat berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan.

“Kehadiran Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sebenarnya tidak dijangka. Beliau sepatutnya menghadiri satu program khas namun kerana ingin memberi sokongan kepada konsert ini, beliau sudi meluangkan masa. Kita sedia maklum TPM sangat sibuk lebih-lebih lagi musim pilhan raya ini. Namun, kunjungannya membuktikan beliau berjiwa rakyat dan bersama-sama penduduk Bagan Datuk berhibur sambil mengukuhkan lagi perpaduan,” katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2018 @ 4:41am
d