rap

Azrinaz selamat nikah Fairos

Oleh Amirul Haswendy Ashari

BEKAS pembaca berita TV3, Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar, 39, mendedahkan sudah berkahwin 1 Mei lalu melalui laman Instagramnya.

Bekas isteri Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah ini selamat bernikah dengan teman lamanya, Fairos Khan Abdul Hamid yang dikenali sejak 20 tahun lalu tetapi kembali menjalin hubungan setahun lalu.

Pasangan itu melangsungkan pernikahan dalam majlis yang diadakan secara tertutup di kediaman Azrinaz di Kuala Lumpur.

Mereka dinikahkan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hazman Hashim berwalikan bapa pengantin perempuan, Hakim Azhar Mohammad Johar.

"Dengan pernikahan ini, saya berharap semua pihak berilah ruang untuk memahami naluri saya yang juga manusia biasa mempunyai kehendak dan perasaan.

"Izinkan saya untuk hidup berpasangan seperti kalian semua lengkap melengkapi meniti hari tua," katanya.

Dia turut berkata, bukan material yang dicari, sebaliknya cukuplah seorang insan yang dapat membimbing, meneman, menyayangi, menghargai, menghormati dan menyanjungi diri ini di kala susah senang, suka duka, cerdas dan sakit, ketika kepala masih diliputi rambut mahupun sehelai dua.

Azrinaz juga memohon maaf kepada semua pihak kerana tidak berkongsi lebih awal berita pernikahannya.

“Kami bukanlah sempurna, dengan ketidaksempurnaan inilah yang melengkapi kami berdua. Dari lubuk hati, maaf dipohon, 10 jari disusun kerana berita ini tidak dikongsi dengan rakan-rakan media terlebih dahulu mahupun sahabat handai.

“Biarlah penyatuan ini selamat selesai semuanya sebelum hebahan. Hubungan yang terjalin ini saya memilih cara lebih ‘privacy’ begitu juga dalam melayari alam rumah tangga nanti.

“Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya segala usaha dipermudahkan dalam setiap perancangan yang hanya memakan masa dua bulan,” katanya lagi.

Azrinaz dan Sultan Brunei berkahwin pada 2005 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan sepasang cahaya mata, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 12, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 10.

Disiarkan pada: May 4, 2018 @ 9:13pm
d