rap

'Usah panggil nama besar saja'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Pada era 90-an, industri muzik tempatan menyaksikan kelahiran ramai penyanyi. Difahamkan lebih 100 artis yang muncul ketika itu.

Namun, hanya beberapa ‘kerat’ yang berjaya kekal hingga ke hari ini antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Ning Baizura, Ziana Zain dan Erra Fazira.

Selebihnya, ada yang dipinggirkan daripada muncul di kaca televisyen, radio mahupun akhbar padahal lagu nyanyian mereka kekal malar segar .

Cuit Sikit minggu ini berkongsi pendapat beberapa artis era itu yang berasakan sudah tiba masa mereka berdiri sama tinggi dengan artis lain.

Mac Ruhayu (Penyanyi/Pengasas Kelab Artis 90-an)

“Hanya nama besar yang diberi peluang menghiasi kaca TV serta radio. Program TV pula boleh dikatakan menggunakan muka sama saja. Padahal ada lebih 100 artis 90-an yang aktif dalam aktiviti seni. Itu belum campur artis berkumpulan. Band rock sudah diberi peluang, itu pun selepas sekian lama berjuang.

Setiap kali persembahan siri jelajah, selalunya penganjur akan pilih penyanyi muda. Lebih parah, baru keluar satu single, ada artis muda sudah berangan bagus dan merasakan dirinya hebat. Kami dulu ambil masa bertahun-tahun untuk hasilkan satu album dan lagu masih dimainkan sehingga kini. Malangnya, ada penyampai radio yang putarkan lagu kami tetapi tidak kenal siapa penyanyi asal,” kata anak penyanyi era 70-an, Rukayah Shukri ini.

Tushee (Penyanyi)

“Komposer yang menghasilkan lagu nyanyian penyanyi zaman kami disukai ramai dan karya itu dinyanyikan semula dalam pelbagai versi. Kalau dengar betul-betul, lagu artis 90-an masih dimainkan hinggan ke hari ini dan mampu bersaing secara sihat dengan lagu baru.

Saya dapati lagu artis era 90-an juga masih menjadi pilihan stesen TV untuk dinyanyikan dalam pertandingan yang dianjurkan termasuklah program realiti walaupun penyanyi asal tidak dijemput,” katanya yang popular dengan lagu Amboi Malu dan Katakanlah Kepadaku.

Hasnol Hassan (Penyanyi)

“Semua ini berpunca daripada kurang pendedahan dan publisiti di media elektronik terutama TV. Apatah lagi kebanyakan stesen TV berpandukan ‘rating’ artis sedia ada dan situasi ini menyebabkan ramai artis era 90-an diketepikan.

Jika ikutkan sejarah artis era 90-an, kamilah yang banyak mewarnai dunia hiburan malah sering mendapat publisiti akhbar dan majalah.

Dengan kebangkitan stesen TV yang menampilkan penyanyi baru dalam bentuk pertandingan, artis era kami mula dilupakan. Penganjur perlu lebih

peka dengan nasib artis 90-an dengan beri peluang sama rata untuk kami muncul dalam acara kendalian mereka. Selain itu, media seharusnya beri kami lebih ruang untuk berkongsi mengenai perkembangan terbaru karier dan aktiviti seni. Kami perlukan lebih publisiti. Lagipun, kebanyakan daripada kami ada semangat kekitaan yang kuat kerana tidak mahu terus tenggelam. Sebab itulah kami masih aktif dan mahu terus berada dalam industri,” katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 1:44am
d