rap

Aepul tidak halang isteri

Oleh Ardini Sophia Sina

VOKALIS Drama Band, Aepul Roza menafikan dakwaan dia menyekat pembabitan isterinya, Leez Rosli untuk aktif sebagai pelakon dan penyanyi selepas mereka mendirikan rumahtangga dan memiliki seorang anak.

Menurut Aepul, dia tidak pernah menghalang isterinya termasuk pernah memberikan lagu hasil ciptaan sendiri untuk dinyanyikan oleh Leez namun ditolak.

“Saya berikan lagu itu ketika kami masih dalam tempoh bertunang. Ia sebagai tanda sokongan agar dia meneruskan kerjaya nyanyiannya tetapi dia tolak.

“Apa yang saya lihat, dia seolah-olah hilang keyakinan diri untuk menyanyi di hadapan penonton selepas berehat dalam tempoh yang lama,” kata Aepul.

Aepul atau Noorsyaiful Md Zalaludin turut mendedahkan dia sudah siap menulis sebuah lagu khas buat anak mereka, Nur Saffiya Alisha yang berusia dua tahun.

“Lagu untuk Alisha sudah siap ditulis dan saya berhasrat untuk ajak dia berduet menerusi karya itu. Saya harap kali ini dia tidak akan menolak pelawaan saya,” kata Aepul berseloroh.

Terdahulu, Aepul dan Leez berkahwin pada 27 Disember 2014 selepas tiga tahun bercinta. Mereka menimang cahaya mata sulung pada 4 April 2016.

Disiarkan pada: May 6, 2018 @ 2:32pm
d