rap

Sebak dalam kerancakan malam

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Lagu Fanatik menjadi lagu ‘selamat tinggal’ buat kumpulan trio adik-beradik, KRU kepada semua peminat setia mereka sepanjang 25 tahun pembabitan dalam industri muzik.

Lebih sayu apabila Datuk Norman Abdul Halim yang juga Abang Long dalam kumpulan turut dianggotai Yusry dan Edry itu berulang kali menegaskan selepas ini tidak ada lagi kelibat KRU apabila ia sah dibubarkan sejurus tamat Konsert Gergasi 25 KRU di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Walaupun keputusan itu tidak direstui peminat yang membesar dengan lagu mereka, Norman berkata, mereka nekad membubarkan kumpulan yang ditubuhkan pada 1992 itu.

“Kami tahu ramai kecewa dengan keputusan ini. Bagaimanapun, KRU tetap dibubarkan. Kami sudah mencapai matlamat dan impian masing-masing.

“KRU sudah menjadi satu jenama, jadi biarlah kami berundur dari bidang nyanyian ini kerana sudah tiba masanya berbuat demikian.

“Ada yang berjumpa dan tak kurang juga menyatakan kesedihan di laman sosial serta mengirimkan mesej langsung kepada setiap seorang daripada kami,” katanya.

Penonton yang hadir menyaksikan konsert itu turut disajikan dengan paparan video gambar KRU sejak awal pembabitan hingga sekarang.

Ketika berkongsi perkara itu, Edry dalam nada sebak meluahkan rasa sedih apatah lagi melihatkan sambutan dan sokongan diberikan peminat selama ini.

“Kami terhutang budi kepada semua yang menyokong selama ini terutama ibu bapa, peminat, rakan media dan pihak produksi.

“Bagaimanapun, biarlah konsert ini menjadi kenangan terindah buat semua. Setiap kali melihat semula gambar lama, terbayang setiap momen pada zaman itu.

“Apa yang pasti, peminat tetap ada bersama dan menjadi sebahagian sejarah kami. Malah, satu perkara perlu diakui peminat adalah inspirasi kami untuk terus kekal bertahan dan berkarya menerusi lagu,” katanya.

Menariknya, konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu turut diselangi dengan cerita dan pengalaman dilalui setiap daripada mereka.

Pendek kata, setiap lagu yang disampaikan mempunyai kisah di sebaliknya yang sengaja dibongkar untuk pengetahuan peminat.

“Kalau nak tahu, sembilan daripada 10 lagu daripada album pertama kami digam kerana rap bercampur bahasa Malaysia dan Inggeris.

“Disebabkan itu kami menghasilkan lagu Mengerti. Selepas itu, setiap lagu dalam album kami ada gabungan rap dan balada.

“Mengenai lagu yang disampaikan pada konsert ini, sebenarnya agak susah untuk kami membuat pilihan kerana terlampau banyak lagu popular KRU yang mahu disampaikan. Jadi, kami pilih yang terbaik dan dekat dengan peminat,” kata Edry.

Tampil persembahan terbaik

Persembahan mega bersempena jubli perak penubuhan KRU turut disifatkan sebagai konsert terbaik mereka selepas kali terakhir menjayakan persembahan berskala besar di Singapura beberapa tahun lalu.

Tidak hairan, sambutan luar biasa diraih Norman, Edry dan Yusry apabila Istana Budaya dipenuhi penonton yang bukan hanya seusia mereka, malah ramai anak muda seawal belasan tahun turut hadir.

Menyingkap semula persembahan pada konsert itu, ternyata aura trio bersaudara itu tidak pudar, malah ia bukti mereka sebagai kumpulan rap unggul yang bakal meninggalkan legasi tersendiri.

Membuka tirai persembahan dengan lagu The Way We Jam, penonton bersorak dan turut menyanyikan lagu itu.

Siapa sangka, pada usia sekarang mereka masih gigih untuk menari walaupun ada ketika ketiga-tiganya kelihatan semput.

Namun, demi peminat yang hadir perkara itu bukan halangan. Persembahan tetap diteruskan, malah mereka sempat membuat empat persalinan pakaian.

Kehangatan berterusan menerusi lagu Awas, Terhangat Di Pasaran, Untukmu, Gadisku dan Negatif, penonton turut sama menyanyi serta bergoyang, sehinggalah kepada lagu penutup tirai, Fanatik.

Sudah pasti rasa sebak membuai jiwa di tengah kerancakan malam apabila mereka mendedahkan, konsert berkenaan memberi makna besar dalam sejarah perjuangan KRU sebelum mengundur diri.

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 1:23pm
d