rap

Tuntut bayaran, terus menghilang diri...

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA tidak akan halalkan walau sesen pun bayaran yang sepatutnya menjadi hak kami sebagai pelakon itu, dunia dan akhirat.

“Jika tak dapat bayaran penuh pun, separuh pun jadilah,” kata pelakon meningkat naik, Aprena Manrose, 25.

Menurut pemilik nama sebenar, Wan Shahera Putri Aprena Wan Syahman jika nak diikutkan sudah setahun dia menuntut pengarah dan penerbit filem epik terbabit melunaskan bayaran seperti dijanjikan.

“Saya pernah berhubung dengan pengarah itu untuk meminta bayaran dijanjikan mengikut kontrak pada tahun lalu.

“Pengarah itu juga meminta saya bertemu dengannya sendirian untuk mendapatkan bayaran itu.

“Namun, saya tidak setuju kerana tidak adil buat pelakon lain yang sama-sama tidak dapat bayaran dijanjikan.

“Bila saya menolak bertemu dengannya dia terus menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi,” katanya.

Kata Aprena, dia sangat berharap pihak persatuan artis dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) akan membantu untuk menyelesaikan isu terbabit dengan segera.

“Isu ini sudah pun dibawa kepada Persatuan Seniman dan FINAS pada tahun lalu.

“Tapi sampai sekarang, nampaknya masih belum ada penyelesaiannya.

“Saya perlu bersuara lagi kerana perlu menuntut hak kami sebagai pelakon,” katanya.

Aprena ditemui ketika menjayakan program khidmat masyarakat bersama artis di Slim, Perak, baru baru ini, dihadiri Pengerusi FINAS, Datuk Khusairi Talib.

Mengulas mengenai filem itu, kata Aprena, dia sudahpun memberikan komitmen terbaik dalam filem epik arahan pengarah terbabit pada Jun tahun lalu.

“Penggambaran filem itu sangat mencabar kerana saya dan barisan pelakon perlu berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Perak, ketika Ramadan tahun lalu.

“Saya juga perlu masuk lumpur, gua dan mandi air dari pili bomba ketika penggambaran sebelum ini.

“Kami sudah buat yang terbaik dan sewajarnya kerja keras dihargai penerbit terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 4:53pm
d