rap

Anugerah Puteri Muslimah Asia 2018 milik Uyaina

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PERSONALITI dan pengacara Wanita Hari Ini (WHI) TV3 Naseha Uyaina Arshad mengharumkan nama negara apabila menjuarai Pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018 yang julung kali dianjurkan stesen TV Indosiar di Jakarta, malam tadi.

Uyaina menewaskan dua lagi calon iaitu Hanifah Razan, pemenang tempat kedua dari Indonesia dan Avida Lale (Turki) yang memenangi tempat ketiga selepas mereka terpilih ke peringkat tiga terbaik.

“Ini penganjuran pertama dan saya memenanginya. Ia membuatkan kemenangan ini cukup manis dan bermakna dalam hidup saya.

“Diangkat sebagai Puteri Muslimah Asia 2018, pastinya saya cuba memikul tanggungjawab ini untuk mengangkat martabat wanita Islam agar menjadi pemangkin kepada masyarakat,” katanya sebaik ditemui selepas diumumkan sebagai pemenang.

Turut diumumkan, Anugerah Puteri Muslimah Persahabatan Asia 2018 yang dimenangi Mala Daud dari Brunei Darussalam, Puteri Muslimah Berbakat Asia 2018 (Beyza Demir - Turki) dan Puteri Muslimah Favorit Asia 2018 (Avida Lale - Turki).

Lebih manis kemenangan itu turut disaksikan primadona alaf baru, Erra Fazira yang bertindak sebagai juri dari Malaysia.

Turut menjadi juri pertandingan ialah aktivis dari Indonesia, Yenny Wahid, Siti Rahmawati (Turki), Marina Yusoff (Singapura) dan Daffy (Brunei Darussalam).

Uyaina memenangi hadiah berupa wang tunai berjumlah RM30,000, tiara dan trofi.

Pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018 menghimpunkan 18 peserta dari enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Turki dan Timor Leste.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 12:54am
d