rap

Jamal pilih M Nasir

Oleh Ramlah Zainal

Nama raja pop, Datuk Jamal Abdillah, 59, terus bertahan dalam bidang seni tanah air sejak tiga dekad lalu.

Penghibur bertaraf legenda ini terus menjadi pilihan penganjur untuk menjayakan persembahan hampir setiap minggu.

Selepas kejayaan konsert bersama Ameng dan Zamani, Jamal bakal mengadakan konsert duo dengan Datuk M Nasir di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 3 hingga 6 Ogos depan.

Jamal berkata, dia memilih mengadakan konsert bersama M Nasir kerana penyanyi hebat itu memiliki ramai peminat dalam bidang muzik tanah air.

“Saya memang menyenaraikan beberapa nama penyanyi untuk buat konsert di Istana Budaya tetapi akhirnya memutuskan untuk mengadakan konsert bersama M Nasir.

“Ia projek besar yang dirancang syarikat saya tahun ini. Saya akan fokus kepada persiapan konsert itu mulai bulan ini,”katanya.

Ditanya mengenai penampilan penyanyi muda Wany Hasrita dan penyanyi kelahiran Australia, Cassidy Anderson pula, kata Jamal ia tidak dapat dilaksanakan.

“Selepas berbincang akhirnya kami tidak jadi menampilkan dua artis undangan itu kerana yakin gandingan saya bersama M Nasir sudah mampu menarik peminat menyaksikan konsert itu.

“Mungkin saya akan menampilkan anak, Osama Yamani pada konsert itu nanti jika dia ada kelapangan kerana dia juga menuntut di Sekolah Seni di Johor Bahru,” katanya.

Dalam pada itu, baru-baru ini Jamal mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha bersama Dayang Nurfaizah di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 24, turut hadir memberi sokongan.

Dalam persembahan selama 45 minit itu, Jamal menghiburkan tetamu menerusi rangkaian lagu popularnya seperti Aku Penghiburmu, Kekasih Awal dan Akhir, Senandung Semalam, Kau Lupa Janji dan Gadis Melayu.

Juara Bintang RTM 1979 itu juga turun dari pentas untuk bermesra dan bergambar bersama tetamu dalam dewan yang dipenuhi 1,000 orang itu.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 12:01pm
d