rap

'Terima kasih kecam saya'

Oleh Norhayati Nordin

SENTIASA dikecam netizen membuatkan penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, 26, kini berlapang dada menerima apa saja kritikan pedas atau negatif yang terus dilemparkan kepadanya.

Nabila berkata, tidak ada lagi perasaan terkilan yang terkesan di hatinya kerana apa saja dilakukan pasti mendapat kritikan atau kecaman daripada netizen.

Malah, baru-baru ini Nabila sekali lagi dipalit cerita sensasi apabila dia didakwa bergaya dengan busana dipercayai rekaannya diciplak daripada jenama antarabangsa, Balmain, ketika menghadiri satu majlis anugerah.

“Saya tampil menggayakan busana itu selepas kata sepakat dicapai bersama pereka fesyen terbabit. Namun, tak sangka juga ia menimbulkan isu.

“Apapun, jangan asyik nak kecam saya saja. Saya sebenarnya tidak pernah terfikir untuk mendapat publisiti seperti ini.

“Walaupun begitu, saya menganggap semua kritikan dan kecaman diberikan netizen itu sebagai sikap ambil berat serta perhatian mereka terhadap apa yang saya lakukan. Terima kasih semua.

“Saya tidak berasa terkilan pun dengan apa saja dakwaan dikaitkan kerana sudah selalu terkena. Saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Menurut Nabila, yang pasti dia tahu pereka fesyen terbabit semestinya ada alasan tersendiri apabila menghasilkan busana berkenaan.

Rekaan busana digayakan penyanyi lagu Cemburu dan Pematah Hati itu tular di media sosial sejak minggu lalu.

Mengakui baru juga mengetahui perkara itu, Nabila berkata, dia lebih selesa memilih untuk tenang dan mengambil pendekatan positif.

“Biarlah apa yang orang nak kata. Saya lebih selesa positif. Apa yang paling utama, fokus pada karier seni saya sekarang.

“Terima kasih juga kepada semua yang menyokong saya. Setakat ini, ia dilihat baik-baik saja terutama sambutan pada single saya,” katanya.

Hingga kini, tontonan muzik video rasmi single Pematah Hati sudah mencatat sebanyak 21 juta tontonan di YouTube dalam tempoh lima bulan dimuat naik.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 12:03pm
d