rap

Masih saji pelbagai elemen komedi

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Beberapa tahun lalu, Deadpool menggegarkan pawagam di seluruh dunia sekali gus mengubah corak filem adiwira.

Watak Deadpool dengan kostum bertopeng yang ‘gila-gila’ dan kelakar menjadikannya berbeza berbanding watak adiwira popular lain.

Tahun ini, filem sekuel lakonan Ryan Reynolds itu kembali dan akan mula menemui penonton di Malaysia pada 17 Mei depan.

Pencipta watak Deadpool, Rob Liefeld turut meluahkan rasa bangganya dengan hasil kerja yang dilakukan pengarah, David Leitch.

“Saya kagum hasil kerja David dalam menjayakan filem kedua ini. Tahniah juga saya ucapkan kepada Ryan yang berjaya membawa watak ini sekali lagi dengan baik,” katanya.

Rob dalam satu temu bual dipetik sebagai berkata, filem kedua ini masih menyajikan pelbagai elemen komedi, namun ada beberapa kelainan.

“Ia bukanlah filem Deadpool sekiranya tidak menyelitkan elemen komedi dalam penceritaan. Produksi Fox mengangkat filem ini ke satu tahap berbeza. Peminat dapat melihatnya nanti.

“Mereka dapat lihat keistimewaan dan keunikan Deadpool walaupun ada yang menganggap ia merepek,” katanya.

Menurutnya, latar tempat menjadi kelainan utama ditampilkan dalam Deadpool 2 selain jenaka yang nampak semula jadi.

“Apa yang boleh saya katakan, jenaka dalam filem ini dilakukan tanpa perlu dipaksa. Itu sebahagian daripada resipi kejayaan filem Deadpool,” katanya.

Sementara itu, Ryan berkata, dia yang juga seorang daripada tiga penerbit filem ini mengakui gemuruh menantikan kehadirannya di pawagam.

“Saya sentiasa gemuruh. Apa yang boleh saya katakan, filem sekuel ini hasil kerja untuk memuaskan jangkaan penonton,” katanya.

David Leitch dalam satu temu bual berkata, satu cabaran buatnya untuk menjayakan filem kedua ini.

“Penonton sukakan Deadpool sejak filem pertama dan untuk kekalkan momentum itu, ia satu cabaran buat saya,” katanya.

Satu lagi perkara menarik untuk Deadpool 2 adalah lagu runut bunyi nyanyian Celine Dion berjudul Ashes.

Selain Ryan, Deadpool 2 turut membariskan beberapa nama besar antaranya Josh Brolin, Zazie Beetz, Brianna Hildebrand dan Stefan Kapicic.

Apa yang pasti, tentunya peminat dan pengikut setia Deadpool tidak akan melepaskan peluang menonton filem yang sarat aksi bersahaja serta komedi mencuit hati ini.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 3:34am
d