rap

Safura lepas rindu

Oleh Norhayati Nordin

Walaupun minat terhadap dunia seni tidak pernah luntur, demi anak dan keluarga, Safura Yaacob sanggup berkorban.

Apatah lagi, selepas kehilangan anak tersayang, Allahyarham Nuraisyah Mariam yang berusia tiga tahun pada 2011 membuatkan Safura, 45, mengubah fokus utamanya.

Safura berkata pemergian anaknya sangat memberi kesan mendalam sehingga dia memilih menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga dan melupakan seketika karier seni.

“Suami pun menyokong keputusan itu memandangka anak kami yang lain pun masih kecil lagi ketika itu. Namun, kini hampir tujuh tahun berlalu, saya sedia kembali aktif semula.

“Namun, keutamaan saya tetap anak dan suami. Saya sedia aktif semula untuk melepas rindu,” katanya.

Pada 1 Mei lalu, Safura berganding dengan penyanyi Liza Hanim meraikan golongan hawa sempena sambutan Hari Ibu di sebuah hotel di ibu kota.

Mengulas karier lakonan, Safura berkata dia akan muncul dengan drama Ustazah Pencen yang akan ditayangkan di RTM tidak lama lagi.

“Saya hanya terima tawaran drama yang penggambarannya dilakukan di sekitar Lembang Klang. Jika di luar kawasan saya tak dapat buat kerana perlu beri perhatian pada perniagaan masakan yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

“Jika tiada aral dan ada rezeki saya, Ramadan ini saya akan membekalkan makanan berbuka puasa untuk sebuah hotel. Alhamdulillah, rezeki anak.

“Sepanjang berehat daripada karier seni, saya aktif berniaga secara dalam talian dan banyak terima tempahan untuk nasi Arab,” katanya.

Sambung ibu kepada enam cahaya mata ini, dia juga aktif menyertai ekspo perniagaan makanan untuk merealisasikan impian membuka restoran.

“Saya suka masak dan sambutan diterima untuk tempahan online sangat menggalakkan. Dari situ timbul keinginan untuk buka restoran.

“Sudah lama impian ini terpendam di hati kerana belum cukup modal,” katanya.

Sebelum menceburi bidang lakonan, Safura mencipta nama sebagai penyanyi pada era 90-an dan pernah popular dengan lagu Sedalam Mana Cintamu, Rinduku Semakin Kuat, Dulu Sayang Kini Benci, Jangan Menangis Sayang dan banyak lagi.

Penyanyi bersuara serak-serak basah ini bertemu jodoh dengan pelakon Shahrolnizam Nor pada Januari 2005 dan dikurniakan empat zuriat iaitu Nuraisyah Mariam (meninggal dunia), Yusoff Firdaus, 9, Zara Nuraisyah, 6, dan Ariana Sofea, 4.

Selain itu, Safura juga memiliki dua anak lagi hasil dua perkahwinan terdahulunya iaitu Nurul Natasha, 23, dan Mohd Daniel Khaqim, 18.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 3:40am
d