rap

Mencari terbaik malam esok

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Siapa akan bergelar juara Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2)?

Inilah persoalan yang berlegar dalam fikiran peminat setia program pertandingan nyanyian berkonsep Islamik yang bersiaran menerusi Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135) setiap Sabtu ini.

Malam esok akan menjadi penentu buat enam peserta iaitu Brothers, InTeam, Fitri Haris, Heliza & Hazwani, Adeep Nahar dan Awi Rafael untuk memperlihatkan keupayaan masing-masing sekali gus diangkat sebagai juara GGV2 selepas dimenangi UNIC tahun lalu.

Enam nama ini bukanlah calang-calang kerana sudah memperlihatkan kehebatan dalam persembahan mereka saban minggu serta mendapat pujian juri tetap iaitu Farihin Abdul Fatah dan Oki Setiana Dewi.

Pada minggu separuh akhir, Fitri yang menyampaikan lagu Di Matamu mendapat pujian daripada Oki terhadap persembahannya.

“Saya sangat menghargai usaha anda. Setiap minggu anda berbeza. Saya tak sangka lagu ini dibawa dalam mesej penderaan anak. Suara bagus, lakonan dari hati,” katanya.

Fitri mengakui persiapannya untuk ke pentas akhir agak terganggu kerana berdepan masalah kesihatan dan perlu berhati-hati agar tidak membawa kesan terhadap persembahannya.

“Tiba-tiba saya demam dan tonsil pula bengkak. Saya sudah jumpa doktor dan cuba perubatan tradisional untuk cepat pulih. Masa yang ada pun dah tak banyak.

“Selain itu, saya juga dah berbincang dengan Adeep kerana kami akan terbabit dalam ‘battle’ lagu Al Nuraa. Saya tak pernah rap berbanding Adeep, namun syukurlah kerana dia tetap berkongsi ilmu dengan saya.

“Saya juga buat rujukan di YouTube cara untuk rap. Saya tengok banyak aspek antaranya bagaimana nak bagi kejelasan, karakter dan attitud dalam penyampaian,” katanya.

Mengulas peluangnya, Fitri mengakui tidak memikirkan sama ada menang atau kalah kerana apa yang penting memberikan persembahan terbaik.

“Itu bukanlah matlamat dan secara peribadi saya nampak Adeep bakal menjuarai GGV,” katanya yang dipilih sebagai pemenang Anugerah Gema Kasih kategori pentas paling bergema atas persembahan yang memukau pada separuh akhir.

Brothers pula menyampaikan lagu Pengasih pada separuh akhir dan menerima komen sederhana daripada Oki.

“Hari ini Brothers berbeza dengan ‘stage act’ yang simple. Saya sangat menghargai penampilan anda cuma saya kurang tersentuh dengan penampilan Brothers,” katanya.

Mengulas perkara ini, Yasin mengakui semua finalis sangat hebat dan mempunyai kekuatan tersendiri.

“Kami pernah menjangka akan terkeluar pada minggu keempat tapi nasib baik masih kekal bertahan. Kami melihat persaingan hebat datangnya daripada Adeep dan tak terkecuali Awi.

“Semuanya hebat dan kami akan battle dengan InTeam untuk lagu Mimpi Laila. Apa yang boleh dilakukan ialah kami akan buat yang terbaik dan cuba lakukan kelainan,” katanya.

Heliza & Hazwani menyanyikan lagu Kau Di Hatiku dan mendapat kata-kata positif daripada Farihin.

“Satu persembahan sangat dinamik. Saya tersentuh kerana mesej jelas, sungguh bijak cara ini diolah,” katanya.

Bagi Heliza, berjaya ke pentas akhir adalah pencapaian terbaik buat mereka dan pastinya mereka akan menampilkan persembahan yang menarik.

“Syukur alhamdulillah, kami tak sangka kerana Allah bagi peluang buat kami ke tahap ini. Pada kami, semua yang mara ke pentas akhir hebat-hebat belaka dan kami adalah paling kerdil dibandingkan dengan mereka.

“Tapi itu tak bermakna kami mengalah. Doakan agar kami buat yang terbaik, menyampaikan mesej yang terbaik sebagai salah satu dakwah daripada kami.

“Berkenaan keistimewaan persembahan kami, peminat kenalah tunggu kerana insya-Allah ada kelainan yang akan dibawakan nanti,” katanya.

InTeam menyampaikan lagu Semalam Yang Hangat dan persembahan mereka menerima pujian juri undangan, Ameng Spring.

“Baru saya tahu lagu ini berkenaan apa. Terima kasih kerana memilih lagu ini, seolah-olah ditujukan kepada saya sendiri. Saya harap mesej ini dijadikan pengajaran, persembahan anda baik,” katanya.

InTeam mengakui sangat berdebar menanti saat untuk beraksi di pentas akhir.

“Ia suatu perasan yang bercampur-baur antara gembira dan mendebarkan. Sememangnya cabaran dalam GGV musim ini sangat sengit dengan adanya peserta hebat.

“Kami tak sabar nak beraksi di pentas akhir lebih-lebih lagi apabila diberi peluang berkolaborasi dalam segmen battle bersama idola, kumpulan Brothers,” kata Syah, selaku ketua kumpulan.

InTeam diumumkan sebagai juara Gema Star Of The Week hasil undian peminat pada pentas separuh akhir lalu.

Mereka yang akan turut menyampaikan lagu popular, Rabiatul Adawiyah berjanji akan menampilkan persembahan yang pasti menarik perhatian penonton dan juri.

Juara GGV2 bakal membawa pulang wang tunai RM100,000, naib juara (RM30,000), tempat ketiga (RM20,000), tempat keempat (RM15,000), tempat kelima (RM10,000), dan tempat keenam (RM5,000) berserta trofi.

Program ini dihoskan oleh Siti Nordiana, Fikry Ibrahim serta Fakhrul UNIC dan akan berlangsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Disiarkan pada: May 11, 2018 @ 9:31am
d