rap

'Beri pembikin filem ruang' - Syafiq

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PENGARAH muda, Syafiq Yusof, 25, melalui laman sosial Twitter miliknya menyuarakan pendapat agar pembikin filem diberi ruang lebih luas untuk berkarya selepas ini.

"Sebagai pembikin filem, saya mohon kerajaan baru dapat memberi kebebasan bersuara untuk pembikin filem berkarya dengan bebas dalam menyentuh isu-isu realiti negara yang selama ini disekat dengan penapisan yang bukan-bukan.

"Saya percaya ramai pembikin filem terutama dalam kalangan golongan muda mahukan perubahan dalam industri perfileman," katanya.

Katanya lagi, bukan wang atau geran yang diharapkan, sebaliknya hak kebebasan untuk bersuara, perlaksanaan undang-undang yang telus dan pembangunan serta kajian dalam memajukan filem tempatan.

Status ditulis pengarah filem pecah panggung KL Special Force itu mendapat lebih 8,000 'retweet' dan 6,000 tanda 'like' sejak dimuat naik ke laman sosial itu petang semalam.

Pada masa sama, netizen turut memberi komen serta maklum balas positif terhadap status itu di media sosial yang berharap cadangan itu dapat direalisasikan pada masa depan.

Disiarkan pada: May 11, 2018 @ 12:45pm
d