rap

Rajinlah timba ilmu

Oleh Norhayati Nordin

Nama seniwati Fauziah Ahmad Daud atau Ogy bukan lagi asing dalam persada seni tanah air, malah dia digeruni kebanyakan bakat baru.

Ada yang berkata kemunculan Ogy di lokasi penggambaran drama Mr Grey arahan Riza Baharudin membuatkan tenaga kerja produksi terbabit ketar lutut. Begitulah hebatnya aura pelakon berpengalaman ini.

Mewarisi darah seni allahyarham ibu bapanya iaitu Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah, Ogy berkata, bakat adalah anugerah daripada Allah SWT.

“Ramai anak muda berminat membina nama sebagai anak seni. Namun, tidak semua ada bakat semula jadi dan mereka perlu digilap. Sama ada pelakon, penyanyi mahu pun pengacara, harus rajin menimba ilmu. Untuk dapatkan ilmu, luangkan masa sertai bengkel anjuran pihak berpengalaman.

“Bagi pelakon, penting menyertai bengkel lakonan untuk belajar bagaimana menzahirkan emosi watak.

“Jika mahu apa yang dipersembahkan dapat diterima baik penonton, kita kena ikhlas dan kreatif.

“Penghayatan watak yang dilakonkan perlu dilihat secara serius. Sebagai pelakon kena faham jalan cerita dan kisah karya yang dipersembahkan itu,” katanya.

Ogy juga menyarankan pelakon baru dan senior perlu meluangkan masa menyertai bengkel lakonan. Ini kerana bakat perlu sentiasa digilap meskipun banyak pengalaman sudah ditimba. Apatah lagi, mendalami ilmu banyak manfaatnya.

Mengulas karier lakonannya, Ogy berkata, dia teruja bakal menjayakan dua pementasan teater di Istana Budaya (IB).

“Jika tiada aral saya akan menjayakan teater Primadona dan Pengantin Popular Sebuah Muzikal.

“Saya tak sabar dan teruja mahu beraksi. Teater Primadona mencabar kerana saya perlu bermonolog,” katanya.

Teater Pengantin Popular Sebuah Muzikal akan mengimbau semula kehebatan telefilem lakonan Ogy bersama Erma Fatima yang disiarkan TV3 pada 1990-an.

“Saya hingga kini memang tidak boleh lupakan kenangan indah ketika menjalani penggambaran telefilem Pengantin Popular.

“Bekerja pula dengan Erma, Datuk Jalaluddin Hassan dan Faizal Hussein, telefilem itu diarahkan Rashid Sibir.

“Rashid memberi kami kebebasan mewarnai watak masing-masing yang memang tidak ikut skrip dan banyak ‘ad-lib’,” katanya.

Ogy berkata, tarikan utama telefilem Pengantin Popular adalah jalan cerita asli dan mengangkat realiti kehidupan sebenar anak seni.

Pengantin Popular Sebuah Muzikal arahan Erma dijangka dipentaskan di IB hujung tahun ini. Barisan pelakon yang disebut-sebut akan terbabit dalam teater ini ialah Ogy dan Erma serta dua pelakon muda berbakat besar, Ayda Jebat dan Janna Nick.

Disiarkan pada: May 13, 2018 @ 1:52am
d