rap

Nak jadi macam Bruno Mars

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Syamel, 25, mengakui semakin bersemangat untuk bekerja keras dalam bidang seni selepas berpeluang melihat ikon kegemarannya, Bruno Mars, beraksi di depan mata, Rabu lalu.

Menurutnya, itu adalah peluang yang tidak pernah dijangkakannya, sekaligus memberi idea untuknya dalam menyusun atur gerak langkah dalam bidang ini.

“Siapa saja yang tak kenal dengan nama Bruno Mars. Bagi saya, dia adalah ikon yang saya jadikan petunjuk dalam bidang seni.

“Baru-baru ini, ketika dia hadir membuat persembahan di konsertnya di Kuala Lumpur, saya berkesempatan hadir dan melihat sendiri persembahannya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi lagu Hidup Dalam Mati itu, sedikit sebanyak, dia terpengaruh dengan muzik yang dibawakan oleh penyanyi dari Amerika Syarikat itu.

“Kalau lihat muzik yang dibawakan Bruno Mars, tak semua adalah lagu perlahan dan mempertaruhkan vokal. Saya pun nak jadi macam tu.

“Insya-Allah, untuk single seterusnya, saya akan hadir dengan lagu yang berbeza berbanding lima lagi sebelum ini.

“Kalau lagu sebelum ini genre balada, saya nak cari lagu yang lebih rancak dan terbuka kepada mana-mana komposer yang berminat untuk bekerjasama dengan saya,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mahu sekadar menunjukkan kemampuan vokal ketika beraksi di pentas.

“Kadangkala, kalau kita terlalu terbawa dengan vokal dan ingin menunjuk kemampuan, kita akan terlupa satu perkara iaitu menghiburkan penonton.

“Jadi, selepas ini saya akan lebih berseronok ketika berada di pentas dan ingin menghiburkan penonton saat membuat persembahan,” katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2018 @ 11:55am
d