rap

Lapan pencalonan buat Sifu Productions

Oleh Michelle Gun

PRODUKSI SIFU Productions mendominasi Anugerah Seni BOH Cameronian ke-15 apabila mendapat lapan pencalonan termasuk kategori utama, Pementasan Produksi Terbaik 2017 menerusi pementasan muzikal You're A Good Man, Charlie Brown.

Pementasan komedi berdasarkan komik Peanuts itu dicalonkan dalam semua tujuh anugerah bawah kategori Teater Muzikal antaranya Pengarah Terbaik, Persembahan Terbaik, Pelakon Terbaik dan Pembantu Pelakon Terbaik.

Turut bersaing ialah produksi TFA Inner Space Dance Company dan The Actors Studio Seni Teater Rakyat dengan masing-masing menerima tujuh pencalonan.

The Actors Studio Seni Teater Rakyat mendominasi kategori Teater menerusi karya Kandang arahan Omar Ali serta Tsao Yu's Thunderstorm sentuhan pengarah, Datuk Faridah Merican.

Dua pementasan TFA Inner Space Dance Company berjudul Kathak dan Contemporary & Odissi bersaing dengan empat produksi lain dalam kategori Tarian.

Turut tersenarai dalam Pementasan Produksi Terbaik 2017 adalah karya FAME, Peking Man, Samprati, Kathak, Contemporary & Odissi, Kandang dan The Pillowman.

Acara anjuran BOH Plantations dan Kakiseni bagi mengiktiraf hasil karya penggiat seni dalam pementasan muzikal, teater dan tarian.

Pemenang Anugerah Seni BOH Cameronian ke-15 bakal membawa pulang trofi berserta hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.

Malam kemuncak Anugerah Seni BOH Cameronian ke-15 akan berlangsung di Hilton Kuala Lumpur pada 24 Jun ini.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 10:17pm
d