rap

Ramai minat lagu Sumandak Sabah...

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Marsha Milan Londoh, 33, tidak menjangka sambutan menggalakkan terhadap lagu rakyat Sabah, Sumandak Sabah nyanyiannya bersama Velvet Aduk.

Menurutnya, lagu itu pertama kali diperdengarkan kepada umum sewaktu membuat persembahan di Marsha & Velvet Live in Kota Kinabalu, baru-baru ini.

“Ketika mempersembahkan lagu itu bersama Velvet, kami pun tak menjangkakan sambutan sehebat diterima kini.

“Alhamdulillah, bukan saja di Sabah, bahkan ada juga peminat di Semenanjung sudah mula tahu lagu Sumandak Sabah itu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia dan Velvet inginkan lagu itu mencapai kegemilangan seperti mana lagu rakyat, Anak Kampung.

“Dah alang-alang peminat saya pun ramai dari Semenanjung, jadi apa salahnya saya kongsikan mengenai lagu itu dengan mereka semua.

“Setiap negeri ada lagu rakyatnya sendiri. Untuk saya dan Velvet, kalau boleh biarlah lagu ini dikenali seperti lagu Anak Kampung,” katanya.

Ditanya sama ada dia dan Velvet merancang untuk lagu itu tular ketika isu politik Sabah hangat diperkatakan, Marsha menafikannya.

“Kami bukan menghasilkan lagu ini kerana mengambil peluang isu politik negeri itu. Tapi, kebetulan masanya sesuai.

“Yang pasti, saya berharap agar lagu ini dapat meredakan sedikit sebanyak ketegangan politik yang berlaku di negeri kelahiran saya itu.

“Kalau boleh, janganlah isu politik menjadi perbalahan. Lagi pula, sekarang pun bulan Pesta Menuai. Janganlah perbalahan ‘membunuh’ semangat kita semua untuk menyambut perayaan itu,” katanya.

Untuk rekod, Marsha dan Velvet adalah bekas peserta program realiti Akademi Fantasia dan sehingga kini masih aktif sebagai penyanyi.

Disiarkan pada: May 16, 2018 @ 4:42pm
d