rap

Fahmi mahu dengar suara penggiat seni

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

"SAYA bukan nak kejar populariti atau melobi mana-mana portfolio menteri dalam kerajaan.

"Sebaliknya apa yang dilakukan hari ini bertujuan mendengar suara hati penggiat seni dan berkongsi idea untuk memajukan industri seni tanah air".

Demikian kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mengulas pertemuannya dengan penggiat seni, hari ini.

Fahmi, 37, berkata, dia tidak kisah sekiranya tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kabinet kerana niatnya hanya mahu melakukan perubahan dalam industri seni.

"Saya sendiri pernah aktif berkecimpung dalam dunia teater dan tahu masalah-masalah yang dihadapi.

"Jadi, sama ada bergelar menteri, ahli parlimen atau tidak, itu bukan matlamat utama.

"Kalau diikutkan, majlis ini bukan anjuran saya tetapi saya dijemput untuk hadir," katanya.

Menurutnya, dia difahamkan satu lagi pertemuan membabitkan penggiat seni turut berlangsung semalam yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan ia sesuatu yang positif.

"Saya tidak kisah sesiapa pun yang anjur dan bagi saya alangkah baiknya kalau semua wakil rakyat berkumpul dalam pertemuan sebegini dengan penggiat seni," katanya.

Majlis ramah mesra berlangsung di Restoran Dapoq Che Jun, Bangunan Stesen Keretapi Lama itu dihadiri hampir 100 penggiat seni.

Antaranya Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, Datuk Farid Kamil, Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar, Sharifah Amani, Iedil Putra,

pengarah, Pete Teo dan ramai lagi.

Dalam pada itu, Fahmi turut mencadangkan untuk mewujudkan Kongres Kesenian Kebangsaan yang sebelum ini pernah diusahakan pada tahun 70-an.

"Ada banyak permasalahan yang perlu diperhalusi dan antaranya ialah pengurusan dana kesenian.

"Saya akan menstruktur semula dana kesenian sedia ada.

"Harapan saya ialah mahu mewujudkan sebuah kongres bagi mengumpulkan anak-anak seni yang mana mereka bebas menyuarakan apa saja masalah dan idea serta cadangan demi kemajuan seni tanah air," katanya.

Fahmi berkata, dia memahami ramai penggiat seni dan kenalan artis pernah menyuarakan pendapat dan masalah mereka namun tidak mendapat perhatian daripada menteri sebelumnya.

"Mungkin menteri terdahulu bukan datang dari latar belakang seni dan kerana itu mungkin beliau tidak memahami keadaan industri," katanya.

Fahmi yang berkelulusan dalam kejuruteraan kimia meninggalkan jawatannya sebagai jurutera kimia di sebuah syarikat Jepun untuk terbabit sepenuh masa dengan teater.

Dia mula aktif dalam pementasan teater pada 2001 apabila mengarahkan teater bertajuk Lebih Kecoh yang dipentaskan di The Actors Studio, Dataran Merdeka.

Dia juga pernah tampil membintangi drama bersiri Gol & Gincu yang ditayangkan pada 2006.

Ditanya sekiranya ditawarkan berlakon selepas ini, Fahmi menjelaskan dia akan mempertimbangkannya.

"Tugas saya sekarang sebagai Ahli Parlimen dan saya akan fokus ke arah itu.

"Bagaimanapun kalau ada sedikit masa untuk berlakon bagi menjelaskan sesuatu isu, ia bukan masalah," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2018 @ 7:38pm
d