rap

Howard mahu realisasi potensi

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

Solo: A Star Wars Story atau ringkasnya, Solo adalah filem terbaru daripada rendisi francais Star Wars yang fokus kepada watak Han Solo yang cukup sinonim dengan jenama filem sains fiksyen itu.

Ia diarahkan Ron Howard dan diterbitkan Lucasfilm manakala lakon layarnya ditulis Jonathan dan Lawrence Kasdan.

Lawrence ialah penulis lakon layar yang menghasilkan Star Wars: The Empire Strikes Back, Return of the Jedi dan The Force Awakens.

Dia diambil sebagai penulis bersama untuk Solo: A Star Wars Story kerana cukup memahami watak Han Solo lakonan Harrison Ford ketika mula-mula diwujudkan dahulu.

Ia adalah rendisi kedua dalam antologi Star Wars yang terakhir ditayangkan pada 2016 melalui judul Rogue One.

Bagi yang mengikuti perjalanan antologi ini, ia berdiri sendiri selepas kejadian A New Hope dan menelusuri pengembaraan Han Solo ketika muda serta pertemuan legendanya dengan Chewbacca.

Asasnya penggambaran bermula pada Januari tahun lalu di Pinewood Studios di bawah arahan Phil Lord dan Christopher Miller.

Bagaimanapun, mereka meninggalkan projek itu pada Jun tahun lalu selepas dilaporkan dipecat kerana isu perbezaan kreatif oleh Lucasfilm, lantas menyerahkan pengarahan kepada Howard.

Walaupun lewat masuk ke set, Howard percaya ada perkara menarik yang boleh dilakukannya dan berharap dapat merealisasikan potensinya.

“Saya ditakdirkan masuk separuh jalan, tetapi berjaya mewujudkan hubungan yang bersifat peribadi dengan watak, cerita dan temanya,” katanya.

Bercakap mengenai hubungan antara pengarah itu bersama Geogre Lucas, mereka menjadi sahabat dan pernah bekerjasama ketika projek American Graffiti cetusan Lucas.

Howard ketika ditanya bagaimana kerja pengarahan diserahkan kepadanya, mengakui ia bukan keputusan mudah oleh Lucas.

“Ia bukan satu situasi luar biasa, tetapi prekuel mengenai Solo ini sudah lama dibincangkan, terutama antara Lucas dan rakan kerjasamanya sebelum ini iaitu Kathleen Kennedy serta Lawrence Kasdan.

“Apabila Lucas turun ke set, dia memberi pendapat yang agak penting untuk produksi ini. Ketika itu kami sedang menjalani penggambaran sebuah babak dan dia cuba untuk tidak terbabit sama,w tetapi dia menghampiri saya dan berkata sesuatu,” katanya.

Katanya, Lucas bertanya apakah Han Solo akan lakukan pada situasi ketika itu dan memberitahunya satu lawak jenaka.

Selepas itu, Howard terus memberitahu kru untuk mengikut cadangan baru yang dirasakan sesuai untuk watak Han Solo.

Kathleen, rakan baik Lucas yang juga penerbit filem berkata, filem yang disifatkan ‘berdiri sendiri’ ini tidak akan melangkaui filem yang tergolong dalam trilogi sekuel.

“George sangat jelas bagaimana ia akan dihasilkan. Dia sudah mencipta Star Wars saga, Kini, Episode VII jatuh ke dalam sisi itu.

“Filem bersifat ‘spin-off’ atau kami mungkin terpaksa mencari nama lain untuk filem itu, ia wujud di dalam cakerawala yang dicipta Lucas.

“Tidak ada percubaan untuk mengangkat watak tertentu keluar dan masuk daripada episod saga ini. Tapi secara kreatifnya, George berjaya menunjukkan laluan yang sangat jelas!” katanya.

Alden pilihan tepat sebagai Han Solo

Soalan yang pastinya dilontar, bagaimanakah kesukaran mendapatkan watak utama yang tepat?

Lawrence berkata, dia tertarik pada watak itu selepas kali pertama melihatnya di dalam filem A New Hope.

“Apabila pertama kali melihat Han Solo, serta-merta saya tertarik padanya. Dia menaikkan keseluruhan filem dengan mudah dan saya sukakannya,” katanya.

Menurutnya, penonton dapat melihat semua yang ingin diketahui pada beberapa minit awal dalam babak.

Katanya, Han Solo adalah watak yang disukainya kerana bersikap sinikal, tidak takut dan tidak percayakan sesiapa.

Dalam pada itu, Alden berkata, watak itu adalah liar dan mengujakan pada masa sama.

“Perwatakannya terlalu besar untuk memahaminya tetapi bagi saya, dapat berada di dalam Millennium Falcon adalah sangat menarik!

“Saya juga dapat bertemu Harrison Ford yang mengejutkan saya dalam satu temu ramah. Dia akui sukakan filem ini.” katanya.

Filem menelan kos lebih RM215 juta ini dibintangi Alden Ehrenreich sebagai Solo, Woody Harrelson (Tobias Beckett), Emilia Clarke (Qi’ra), Donald Glover (Lando Calrissian), Thandie Newton (Val), Phoebe Waller-Bridge (L3-37), Paul Bettany (Dryden Vos) dan Joonas Suotamo (Chewbacca).

Ia bakal ditayangkan di pawagam tempatan bermula 24 Mei depan.

Disiarkan pada: May 18, 2018 @ 4:55am
d