rap

Berat badan Abam dah susut...

Oleh Rudy Imran Shamsudin

BULAN Ramadan bukan penghalang buat pelawak kumpulan Bocey, Abam meneruskan usahanya untuk mengurangkan berat badan menerusi program ‘you can lose weight from home’.

Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan mengikuti program itu sejak hampir sebulan lalu, berjaya membuang berat sebanyak 16.9kg.

Dia kini memiliki berat badan 171.1 kg berbanding 188.6 kg beberapa minggu lalu.

Bercerita aktiviti program mengurangkan berat badannya itu sepanjang bulan puasa, Abam mengakui masih perlu mengikut pelan diet sudah diatur.

“Disebabkan berpuasa, saya hanya melakukan riadah biasa. Hanya selepas solat tarawih saya akan main badminton atau berada di gimnasium untuk mengeluarkan peluh.

“Harus diingatkan bulan puasa adalah bulan ibadah dan saya berpegang kepada prinsip ibadah itu juga satu senaman,” katanya.

Abam turut menafikan mengamalkan diet dan senaman atas nasihat doktor kerana mengalami penyakit berkaitan berat badan berlebihan.

“Alhamdullilah, saya sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit. Saya nekad turunkan berat badan disebabkan ada impian yang mahu saya penuhi.

“Saya menurunkan berat badan kerana ada impian berlakon filem atau drama aksi. Transformasi saya lakukan ini adalah demi karier lakonan pada masa akan datang,” katanya.

Abam berkata:” Andai dapat memenuhi sasaran menurunkan berat badan, saya mahu menceburi bidang perniagaan berkaitan dunia kesihatan atau pun menjadi model”.

Disiarkan pada: May 18, 2018 @ 6:24pm
d