rap

'Mereka ada kuasa tarikan'

Rudy Imran Shamsudin

Selepas pengarah dan penerbit, Shahrulezad Mohameddin memberikan kenyataan tidak akan melayan mana-mana pelakon utama yang popular mahu meletak harga tinggi, seorang lagi pengarah dan penerbit, Heykal Hanifah turut bertindak sedemikian.

Sebaik memenangi kategori Pengarah Pilihan di anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018 menerusi drama Titian Cinta baru-baru ini, Heykal menyeru pelakon tempatan supaya tidak meminta bayaran tak munasabah bersandarkan populariti dan pengikut yang tinggi di laman sosial.

Kenyataan mereka pastinya menimbulkan konflik dalam kalangan penggiat seni sendiri, apatah lagi pelakon meletak harga berdasarkan projek yang perlu dilakukan.

Kebanyakan pelakon berpendapat mereka mempunyai penilaian sendiri terhadap bayaran diminta.

Selain watak, harga juga turut bergantung kepada kerja promosi yang perlu mereka lakukan.

Menilai daripada pendapat dan pandangan kedua-dua pihak, ternyata mereka mempunyai hak dan alasan tersendiri mengapa perkara membabitkan bayaran dibangkitkan.

Namun, adakah setiap penerbit akur dengan apa yang dibangkitkan kedua-dua belah pihak? Adakah mereka bersetuju dengan rakan seangkatan atau lebih menimbangkan kehendak pelakon yang menjayakan drama diarahkan mahupun diterbitkan.

Fadzil Teh (Pengarah Urusan Zeel Production Sdn Bhd)

“Isu bayaran tinggi diterima pelakon sehingga melebihi apa yang diperoleh pengarah tidak seharusnya dibangkitkan.

Kalau hendak dikira dari sudut logik, memang pelakon dibayar lebih mahal berbanding pengarah. Mereka yang membangkitkan isu ini tidak seharusnya melenting.

Jika di Bollywood, adakah anda rasa pengarah Sanjay Leela Bhansali dibayar lebih daripada pelakonnya Priyanka Chopra? Sudah tentu tidak. Kalau tidak mahu lihat contoh luar negara, ambil saja contoh dalam industri filem mahupun drama tempatan.

Sebagai primadona filem, sudah tentu Erra Fazira berhak meletak harga tinggi lebih daripada diterima pengarah kerana kedudukan dan statusnya.

Kenapa saya berkata dia berhak? Jawabnya kerana umum mahu melihat artis di kaca TV mahupun filem dan pengarah hanya melakukan kerja pengarahan.

Pelakon mempunyai kuasa untuk menarik orang menyaksikan karya yang dihasilkan. Sebagai penerbit saya boleh pilih sesiapa saja yang mengarah dan sekarang ini pun kita ada ramai pengarah berpengalaman.”

Michael Ang (Penerbit dan pengarah)

“Bayaran tinggi diminta pelakon perlu dipastikan berbaloi terutama apabila mereka tahu yang bintang ditampilkan itu mampu menarik perhatian umum.

Pengarah boleh saja meletakkan harga lebih tinggi berbanding pelakon, tetapi pastikan mereka juga turut menjadi penerbit.

Kalau pelakon itu minta RM5,000, pengarah yang juga penerbit untuk produksi mereka sendiri bolehlah meletak bayaran untuk mereka RM5,001. Walaupun seringgit, tetapi gaji mereka lebih sedikit daripada pelakon.

Soal bayaran ini biasanya adalah rahsia. Ia hanya diketahui penerbit termasuk berapa yang dibayar kepada pengarah dan pelakon itu sendiri.

Pengarah yang tahu bayaran diterima pelakon biasanya mereka juga menjadi penerbit untuk satu-satu projek drama mahupun filem. Jika mereka bukan penerbit, soal bayaran tidak akan dibangkitkan dan menjadi isu.

Namun, menerusi pengalaman saya bekerja dengan pelakon yang popular ini tidak pernah lagi mereka meminta harga melampaui batas.

Kalau ada pun yang meletak harga tinggi, tetapi rundingan masih boleh dilakukan. Belum pernah lagi pengalaman saya sebagai penerbit ada pelakon yang meminta harga hingga RM10,000 untuk satu episod.

Jika ada yang meletak harga tinggi, saya akan cuba berunding dan menjelaskan mengapa harga tinggi diminta tidak dapat ditunaikan. Selalunya dengan penjelasan dan juga rundingan kedua-dua belah pihak akan mencapai kata sepakat.”

Datuk Ziela Jalil (Pengarah Urusan Pena Creative Pictures Sdn Bhd)

“Ini bukan perkara baru. Sebenarnya memang selama ini perkara itu sudah menjadi isu. Pelakon popular dan diminati ramai ini letak harga yang tidak masuk akal. Cuma sebagai penerbit saya sebelum ini berasakan tidak ada pilihan.

Apabila nampak pelakon paling dekat dan sesuai dengan watak dalam skrip, saya akan berkeras mahukan mereka juga membintangi karya itu. Jadi apabila saya mahu mereka boleh meletak harga.

Bagaimanapun, sekarang ini saya sudah mula belajar untuk bekerja dan memilih pelakon berdasarkan bajet. Tawaran tetap diberikan kepada pelakon yang bersesuaian, tetapi kalau harga tinggi kita cuba tukar.

Seharusnya pihak yang berada pada kedudukannya belajar untuk pujuk nafsu dalam memilih pelakon, kerana isu ‘letak harga’ timbul disebabkan kebanyakan penerbit ‘telan’ permintaan pelakon.

Semua penerbit perlu sepakat dan sebulat suara dalam menentukan harga seseorang pelakon supaya soal bayaran boleh diselaraskan dan tidak melampaui batas.

Disiarkan pada: May 19, 2018 @ 2:27am
d