rap

'Kami memang tak mengundi'

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENGACARA Hanis Zalikha dan suami yang juga aktor Hairul Azreen mengakui tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seperti yang didakwa netizen, sebelum ini.

Hanis dan Hairul yang ditemui di majlis pelancaran Jakel Barulah Raya di Kuala Lumpur, hari ini, bagaimanapun menjelaskan mereka tidak mengundi kerana terikat komitmen kerja.

Hanis berkata, suaminya sibuk di lokasi penggambaran filem Paskal di luar Kuala Lumpur menyebabkan mereka menggunakan hari mengundi berlangsung, untuk menjalani penggambaran iklan Jakel.

“Jujur saya kecewa dan menyalahkan diri sendiri kerana tidak dapat melaksanakan tanggungjawab untuk mengundi.

“Lebih-lebih lagi apabila saya melihat kebangkitan rakyat dan semangat nasionalisme tinggi yang ditunjukkan membuatkan saya berasa sangat terkilan kerana tidak dapat mengundi,” katanya.

Katanya, dia dan suami sebelum itu cuba mencari tarikh sesuai untuk mengadakan penggambaran iklan terbabit, tetapi gagal.

“Memandangkan Hairul sibuk dengan filem Paskal dan saya sendiri sudah terikat dengan beberapa jadual kerja menyebabkan kami tiada pilihan,” katanya.

Sebelum itu, netizen dapat menghidu Hanis dan Hairul tidak keluar mengundi kerana tidak memuat naik perkara itu di laman sosial mereka.

Dakwa netizen, Hanis dan Hairul jarang sekali tidak memuat naik gambar membabitkan perkara dan peristiwa penting di laman sosial.

Disebabkan itu, pasangan suami isteri terbabit diselar beberapa pihak yang tidak berpuas hati.

Disiarkan pada: May 19, 2018 @ 4:02pm
d