rap

Baju raya Che Ta cukup sebulan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

BIARPUN baru memasuki lima Ramadan, pelakon jelita, Rozita Che Wan sudah menyiapkan kelengkapan menyambut Aidilfitri terutama baju raya.

Rozita, mesra disapa Che Ta berkata, baju raya tahun ini mendapat sentuhan pereka Rizman Ruzaini dan Syafique Aiman.

"Berapa pasang baju raya tahun ini biarlah rahsia. Apa yang pasti cukup untuk raya sebulan dan tidak pakai baju 'ulang tayang'," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai sambutan Ramadan tahun ini, Che Ta mengakui lebih selesa berbuka puasa di rumah bagi memudahkannya mengerjakan solat Sunat Tarawih.

"Seperti kebiasaan, saya banyak mendapat jemputan majlis berbuka puasa. Cuma, anak-anak kalau boleh nak berbuka di rumah.

"Kebetulan mereka pun sibuk nak menjalani peperiksaan. Dalam masa sama, kalau berbuka di rumah memudahkan kami nak pergi solat tarawih. Kalau berbuka di luar nanti terbabas.

"Selain itu, saya juga sibuk berniaga dan buka 'booth'. Jadi, saya kena turun padang untuk tengok," katanya.

Che Ta bakal muncul dalam program Oh My Family Raya berkata, dia tidak ketinggalan berkunjung ke bazar Ramadan.

"Untuk juadah berbuka selalunya disediakan mak. Kalau anak ada permintaan lain, saya masakkan untuk mereka. Selalu mereka nak saya masak udang dan sotong.

"Saya juga pergi bazar untuk beli makanan kegemaran iaitu murtabak dan buah melaka. Kalau sahur pula, saya kena masak sebab kami anak beranak kena makan nasi," katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 1:30pm
d