rap

Andi Bernadee tebalkan muka...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SELEPAS mencipta populariti menerusi lagu parodi Tak Tun Tuang, penyanyi kelahiran Sabah, Andi Bernadee sekali lagi mencuri tumpuan apabila video memaparkan dirinya memakai kain pelikat tular di laman sosial.

Andi atau Andi Azrul Andi Mapangile, 27, berkata penampilan itu adalah bagi menjayakan penggambaran muzik video single terbaru, Semalam Sahur Di Mana.

"Saya tidak menjangka video pendek yang dimuat naik di Instagram Story (IG Stories) baru-baru ini tular dan menjadi buah mulut.

"Saya bukan sengaja memakai kain pelikat sambil berjalan-jalan, tetapi ia bagi menjayakan muzik video lagu baru. Rakaman dibuat Jumaat lalu, jam 8 malam selepas waktu berbuka puasa di sekitar LRT Puchong Prima," katanya.

Andi berkata, dia hanya tebalkan muka muncul di khalayak dengan penampilan sebegitu asalkan konsep yang ingin diketengahkan berjaya disampaikan.

"Saya menyanyi di sekitar pasaraya yang kebetulan orang keluar masuk membeli barang. Dalam masa sama, peniaga bazar sedang mengemas barang jualan.

"Ketika penggambaran, saya perasan juga orang mula pandang pelik dan bercakap. Tetapi, saya tidak kisah dan buat biasa saja asalkan apa dibuat ini orang mudah ingat.

"Memandangkan lagu ini mengenai sahur, jadi pengarah muzik video menyuntik elemen Melayu. Apabila siap nanti, baru penonton akan faham," katanya.

Lagu berentak hip hop itu mengangkat tema ibadah sahur sempena Ramadan yang mana berbeza daripada kebiasaan lagu dihasilkan sempena kehadiran bulan mulia ini.

Mengenai lagu itu, ia adalah rakaman semula daripada lagu Semalem Sahur Di Mana ciptaan dan nyanyian rapper terkenal Indonesia, Roy Ricardo.

"Selalunya ketika berpuasa kita fokus nak berbuka di mana dan makan apa. Tetapi kali ini saya dan pasukan ingin menekankan mengenai kepentingan bersahur.

"Sesuai dengan rentak lagu ini, kita dapat rasa bagaimana kemeriahan bersahur. Dalam masa sama, lagu boleh dijadikan bahan usikan kepada rakan," katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 6:59pm
d