rap

'Mohon maaf jika ada berkecil hati'

Oleh Norhayati Nordin

VOKALIS Projector Band Iskandar Zulkarnain Shafin atau Is, 25, meminta maaf kepada semua pihak yang berkemungkinan kurang menyenangi sikap anggota kumpulan itu.

Is juga mengakui kesilapannya datang lewat untuk sebuah program televisyen bagi mempromosikan single terbaharu Meskipun Kau Tahu.

“Saya mewakili rakan Projector Band yang lain hanya mampu minta maaf sekiranya ada sikap kami yang kurang disenangi mana-mana pihak.

“Memang tiada niat langsung untuk mengecilkan hati sesiapa tetapi manalah tahu jika kami ada terlepas pandang perkara itu.

“Apapun, bagi saya sendiri memang buat silap kerana datang lewat untuk program TV terbabit disebabkan tertidur dalam kereta," katanya.

Is berkata, dia sebenarnya sudah meminta maaf kepada pihak penerbitan program TV itu di atas kesilapan dilakukan.

Ditanya juga mengenai dakwaan Projector Band 'meletak harga' untuk bayaran persembahan nyanyian mereka, Is menafikannya.

Katanya setakat ini segala urusan berhubung tawaran persembahan untuk Projector Band dilakukan MAP Music.

“Siapa kami untuk bersikap memandai dalam meletakkan bayaran persembahan. Apatah lagi, soal bayaran selalunya syarikat pengurusan kendalikan.

“Apapun, saya minta maaf di atas kekeliruan berlaku dan meminta peminat terus menyokong perjalanan karier seni Projector Band,” katanya.

Mengulas juga mengenai populariti Projector Band yang dikatakan sudah 'jatuh', Is berkata, perkara itu tidak berlaku.

“Saya tidak fikir nama Projector Band sudah jatuh kerana single Meskipun Kau Tahu setakat ini mendapat sambutan baik,” katanya.

Katanya, sambutan positif pendengar di radio hanya mampu dibalas dengan ucapan terima kasih.

Selain Is, Projector Band yang popular dengan lagu Sudahku Tahu dan Aisyah dianggotai Razif sebagai pemain gitar utama, Eddy (gitar kedua), Mat (bass) dan Apit (dram).

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 5:32pm
d