rap

Lee Hongki bongkak!

Oleh Georgie Joseph

Annyeonghaseyo! Kuasa peminat terutama di Korea Selatan sukar digugat. Suara mereka mampu membuatkan banyak pihak tunduk dengan permintaan mereka.

Terbaru, vokalis FT ISLAND, Lee Hongki dikecam teruk netizen apabila didakwa bersikap bongkak. Lantas, mereka mewujudkan petisyen meminta agar kerajaan mengambil tindakan terhadap bintang terkenal itu.

Semua itu berpunca daripada insiden penyanyi berkenaan menyertai ruang sembang seorang joki penyiaran kontroversi dikenali sebagai Chulgoo.

Chulgoo terkenal dengan kandungan perbincangan kontroversi. Antara yang dibicarakan adalah jenayah terhadap wanita, mengutuk pergerakan bersejarah, mengejek orang dan banyak lagi.

Kemunculan Hongki dalam ruang sembang itu disifatkan menyokong joki penyiaran berkenaan. Netizen yang berang dengan tindakan Hongki mewujudkan petisyen meminta pihak berwajib menjatuhkan hukuman terhadap pelakon dan penyanyi itu.

Petisyen berkenaan berjaya mendapat lebih 4,800 tanda tangan sehingga semalam.

Tidak mahu berdiam diri dengan kritikan yang terus menghujaninya, Hongki tampil dengan kenyataan balas di Instagram menafikan dia menyokong Chulgoo.

“Kamu semua buat saya gila. Saya bukannya melihat dia melakukan perkara terkutuk seperti yang kamu tuduh. Saya cuma meninjau ruang sembang itu dan kebetulan dia sedang bersiaran.

“Takkan kerana itu kamu terus hilang hormat terhadap saya? Kalau kamu kenal saya secara dekat, kamu pasti tahu saya bukan jenis orang yang begitu.

“Kenapa kamu mendesak untuk saya tampil dengan penjelasan seperti yang kamu mahukan? Kalau kamu hilang rasa hormat, itu di luar kuasa saya. Apa yang pasti ia tidak seperti kamu sangka dan berhenti bercakap mengenai perkara ini,” tulisnya.

Bagaimanapun, peminat penyanyi itu mempertahankannya dan menganggap netizen bersikap keterlaluan. Tidak mahu kalah, peminatnya turut mewujudkan petisyen meminta semua petisyen menentang Hongki digugurkan.

Sehingga semalam, petisyen itu mendapat sokongan lebih 10,300 peminat.

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 3:09am
d