rap

Ibarat menang Vokal Terbaik AJL

Oleh Georgie Joseph

“Ibarat menang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL)”, kata penyanyi, Dewi Liana Seriestha selepas menerima anugerah Vocalist Extraordinaire Of The Year pada acara McM Rising Stars McMillan Woods Global Awards 2018, semalam.

Dewi, 29, mengakui anugerah terbabit sangat bermakna buatnya sebagai penyanyi disebabkan ia spesifik menjurus kepada kemampuan vokalnya.

“Bukan tidak pernah merasa anugerah. Sebelum ini pernah juga menerima beberapa pengiktirafan atas sumbangan mengharumkan nama negara.

“Tapi anugerah ini berbeza disebabkan ia secara spesifik mengiktiraf kualiti vokal saya. Jujur saya akui perasaannya seperti menang kategori Vokal Terbaik pada AJL.

“Sebelum ini, penyanyi lain seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Ning Baizura juga pernah menerima anugerah pada acara sama dalam kategori lain. Jadi, saya sangat terharu apabila dipilih pula menjadi penerima tahun ini,” katanya.

Dewi, bekas pemenang Miss World Malaysia 2014 mengakui pemilihannya untuk anugerah itu juga mengambil proses sangat terperinci dan bukan sesuka hati.

“Sebenarnya nama saya dicadangkan oleh seorang kenalan kepada penganjur awal tahun ini. Bagaimanapun, mereka mahu meneliti terlebih dahulu pencapaian serta profil saya bagi pengesahan.

“Berbulan juga penganjur ambil masa melihat video-video nyanyian saya demi memastikan saya benar-benar layak. Akhirnya beberapa bulan lalu mereka menghubungi saya dan sahkan saya akan menerima anugerah itu,” katanya.

Anak jati Kuching, Sarawak itu memulakan karier nyanyi sejak menyertai program Mentor pada 2005.

Pada 2004, Dewi memenangi anugerah Miss World Talent sewaktu mewakili Malaysia di Miss World 2014.

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 3:20pm
d