rap

Elda Susanti selesa diuruskan suami

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI, Elda Susanti mengakui lebih selesa kariernya diuruskan sendiri oleh suaminya, Syed Taufik, bekas pemain dram kumpulan rock Rio.

Elda, 34, berkata, dia tidak kisah dengan pandangan segelintir pihak mengatakan dirinya dikongkong oleh suaminya dan tidak pernah ambil tahu berkenaan perkara itu.

“Sebenarnya apabila ada suami disisi, saya rasa lebih yakin dan selamat bergerak ke sana sini. Lagipun suami pun orang muzik dan memahami semua selok belok dunia seni.

“Apabila saya buat ‘comeback’ orang tahu saya isteri Taufik dan cari dia untuk menawarkan undangan menyanyi buat saya.

“Mungkin rezeki saya kerana Taufik juga sebab dia banyak kenalan dan pernah bergelar penerbit album dan pengalaman itu digunakan bagi merencana kerjaya seni saya,” katanya kepada Harian Metro.

Bekas peserta program Dangdut Star di Astro dan kemudian D’Academy Asia 2 (DAA2) di Indonesia ini memberitahu, dia kembali menyanyi pun atas restu dan kebenaran Taufik selepas lama berehat daripada bidang seni.

Bagaimanapun Elda mengakui tidak terkecuali berdepan pengalaman diganggu oleh lelaki nakal yang mahu mengambil kesempatan terhadapnya.

“Itu perkara biasa. Rasanya dalam mana-mana bidang pun sama juga. Cuma, kita kenalah pandai jaga diri agar tidak jadi mangsa.

“Saya sendiri sentiasa beringat-ingat bahawa saya isteri orang dan perlu sentiasa jaga perlakuan di mana-mana sahaja.

"Jika ada penganjur yang minta saya pergi mengadakan persembahan sendirian, saya lebih rela menolaknya,” katanya.

Bercerita lanjut, Elda menjelaskan ada juga yang secara terang-terangan cuba menggodanya di depan Taufik, tetapi apabila dijelaskan perkara sebenar barulah mereka faham.

“Ada diantara mereka sebenarnya tidak tahu yang kami adalah suami isteri. Saya tidak salahkan mereka kerana tidak tahu perkara sebenar.

“Apapun syukurlah setakat ini tiada apa-apa kejadian buruk berlaku kerana semua urusan diuruskan oleh Taufik,” katanya.

Dalam pada itu, selepas Aidilfitri nanti, Elda akan tampil dengan single terbaru berjudul Bahtera Impian ciptaan Pak Ngah dan lirik Siso yang dinyanyikan secara berduet dengan penyanyi Indonesia Alfin Habib.

Sebelum ini, Elda pernah menghasilkan album Yang Ku Sayang (1997) dan Semakin Sayang (1998).

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 4:57pm
d