rap

Asuh generasi al-Quran

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Perjuangan qariah terkenal Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman, 36, untuk menyemai dan menyemarakkan minat masyarakat supaya sentiasa berdampingan dan membaca al-Quran tidak pernah terhenti.

Terbaru, Johan Tilawah al-Quran Antarabangsa 2009 ini sedang mengusahakan Academy Al Sharifa Tuna Quranic Arts (ASQA) yang bertujuan melahirkan generasi al-Quran yang mempunyai bacaan bermutu, berkualiti dan mampu membaca seperti qari dan qariah antarabangsa.

“Di ASQA, kami bukan saja mahu melahirkan mereka yang celik al-Quran, tapi juga mahu melahirkan generasi dan insan yang beradab.

“ASQA dihasilkan sebagai hala tuju pelajar Maahad Tahfiz hari ini. Kita nak melahirkan Sheikh Imam Misyary, Imam Sudais dan imam Makkah yang profesional,” katanya.

ASQA akan berpangkalan di Malaysia dan mendapat sokongan penuh daripada negara Timur Tengah iaitu Qatar dan Oman sebagai rakan niaga.

“Mereka menyokong dari sudut kewangan dan komitmen. Saya sebagai pengarah dan Syeikh Mohammed Inani Nafi’ dari Qatar sebagai pengetua kerana bahasa Arab dan Inggeris dijadikan bahasa pengantara.

“Rata-rata kita kurang fasih berbahasa Arab. Kita nak mencari yang terbaik kerana ‘lughah jannah’ adalah bahasa Arab.

“Pelajar sekarang walaupun lulusan dari universiti Mesir, mereka hanya ambil subjek bahasa Arab untuk gagal. Ini yang saya perhatikan. Di sini saya nak mereka fasih bahasa Arab dan menguasai tiga bahasa iaitu bahasa Malaysia, Arab dan Inggeris,” katanya.

Turut membantu, Dr Ali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pakar komunikasi & multimedia, Ustaz Farid, Dr Aziz dari Yaman dan Dr Ali dari Ghana dan beberapa konsultan daripada syarikat korporat.

“Pengambilan akan bermula pada September dan buat masa ini kami bekerjasama dengan Universiti Malaya dan insya-Allah kami akan menyewa bangunan UM buat sementara waktu kerana kerjasama baik yang diberikan.

“Ia akan bermula dengan kos jangka pendek selama enam bulan dalam bentuk tiga modul iaitu tajwid, mujawwad dan ulumul quran serta lughah. Setiap enam bulan itu bermaksud 100 jam perlu dihabiskan.

“Insya-Allah apabila keluar nanti, pelajar akan pandai tajwid dan mahir serta fasih bahasa Arab. Kami tiada tolak ansur dalam pembelajaran. Ia adalah kos intensif yang tak boleh didapati di mana-mana kerana ini adalah pusat pengajian ASQA yang pertama diwujudkan di dunia,” katanya.

Menurutnya, sasaran pelajar adalah dari seluruh negara ASEAN yang berumur dari 17 hingga 60 tahun.

Sharifah Khasif pernah melahirkan album berjudul Al Husna dan kemudian tampil dengan album Tarannum yang memuatkan variasi bacaan lapan surah pilihan.

“Sebenarnya ramai yang bertanyakan album terbaru saya, tapi belum ada perancangan untuk album seterusnya.

“Bukan saya tak nak fokus pada nyanyian, tapi saya nak mereka faham bahawa apabila membaca al-Quran, kita boleh pergi kepada nyanyian, faham seni qasidah. Itu maksud saya yang sebenarnya.

“Saya nak mereka balik kepada al-Quran dan bukan melalaikan mereka dengan nyanyian. Saya nak pendengar belajar lagu-lagu saya. Saya lihat ramai yang masih belum mampu menyambung nyanyian saya setiapkali saya minta mereka menyanyi ketika saya buat persembahan,” katanya.

Dia mengakui boleh mengambil pendekatan popular menyanyikan ‘cover version’ seperti lagu Yayadan nyanyian Allahyarham Datuk Sharifah Aini, tetapi tidak berminat menyanyikannya.

“Itu semua lughah Melayu dan semua orang boleh buat. Saya nak orang belajar lughah Arab dan menyukainya.

“Apapun saya gembira kerana setiap kali persembahan, saya sering diminta menyanyikan lagu-lagu nyanyian sendiri tanpa perlu menyampaikan lagu orang lain.

“Mereka kata album ini unik dan lagu-lagunya boleh didengar berulang kali tanpa had masa tertentu atau bermusim,” katanya.

Dalam pada itu, Sharifah Khasif akan terbabit dengan program Iftar@KL 2018 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang akan berlangsung di Jalan Raja, Kuala Lumpur, Ahad ini.

Dia akan menyampaikan bacaan al-Quran serta memberi tazkirah berkenaan kepentingan al-Quran dalam kehidupan manusia.

“Saya nak jelaskan kepentingan keberkatan Ramadan dengan al-Quran. Saya juga nak semua tahu kenapa kita kena baca al-Quran pada bulan Ramadan,” katanya yang berterima kasih kepada JKKN yang sudi menjemputnya untuk berkongsi ilmu.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 3:39am
d