rap

Aktiviti tanda terima kasih

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Cuaca mendung diiringi hujan renyai pada petang Sabtu lalu tidak menghalang lebih 5,000 pengunjung memenuhi pekarangan tempat letak kereta pusat beli-belah Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah sempena acara Bazar Terima Kasih anjuran Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad.

Duta TV3 dan TV9 untuk program berkenaan, pasangan pelakon Amyra Rosli, 26, dan Amar Baharin, 32, teruja dapat turun padang dan bertemu peminat mereka di sana.

“Sudah lama tidak buat aktiviti ‘meet and greet’ seperti ini, macam saya sendiri pun, kali terakhir pada 2014,” kata Amar, 32.

Amyra berkata, walaupun aktiviti bertemu peminat perkara biasa tetapi mereka melakukan secara berasingan mengikut drama masing-masing.

“Bezanya kali ini dapat bawa anak sekali. Jadi, kami agak teruja dengan sambutan peminat. Malah kami juga sukakannya dan berasakan inilah masanya untuk turun padang.

“Tugas kami mempromosikan acara ini dan syukur ia mendapat respons baik. Dulu, acara ini sekadar beri ucapan terima kasih saja tetapi kini melalui sentuhan, turun padang melakukan aktiviti sebagai tanda terima kasih dan berniaga di bazar,” kata mereka.

Lebih manis, hasil jualan di bazar diserahkan sebagai sumbangan ke dalam tabung Bersamamu.

Amyra turut berkongsi ketika berpeluang melawat rumah anak yatim Pertubuhan Anak Yatim Daerah Kuala Muda bersama rakan artis lain pada hari sama.

Katanya, walaupun tersentuh dengan perkongsian mereka, dia tetap menahan air matanya.

“Mereka ada berkongsi banyak perkara mengenai kehidupan sebagai anak yatim dan ia menyentuh hati saya kerana dapat menyelami kehidupan masing-masing.

“Selain berkongsi kisah, kami turut membantu sedikit sebanyak dengan membantu aktiviti gotong-royong di sana,” katanya.

Seorang lagi duta kempen Bazar Terima Kasih, Izzue Islam berkata, dia kagum dengan anak yatim terbabit ketika melawat ke rumah anak yatim itu untuk aktiviti gotong-royong.

“Asrama mereka sangat bersih dan kemas. Tak banyak aktiviti ‘pembersihan’ yang dilakukan. Bagi mengisi masa, kami hiburkan mereka dengan nyanyian dan sebelum pulang, kami sampaikan sumbangan buat mereka,” katanya.

Bercerita mengenai Bazar Terima Kasih, Izzue melihat ia mencapai sasaran kerana dapat menggalakkan orang ramai membeli sambil menderma.

Apatah lagi, semua hasil jualan daripada bazar disumbangkan ke dalam tabung kebajikan yang kemudian diserahkan kepada Pertubuhan Anak Yatim Daerah Kuala Muda.

“Tanggungjawab sebagai duta agak berat. Jika tidak melunas tanggungjawab itu dengan baik, saya dikira gagal tetapi syukur semuanya mencapai sasaran,” katanya.

Selain acara bazar, duta selebriti dan artis yang hadir turut memeriahkan acara Jom Masjid melalui rakaman bual bicara agama Al-Kuliyyah dan Raudhah Mawaddah, pengisian digital Facebook yang membincangkan topik Terima Kasih bersama Ally Iskandar dan panel jemputan Ustaz Jafri Abu Bakar serta Sukur Ibrahim di Masjid Andalusia, Sungai Petani.

Lokasi kedua Bazar Terima Kasih dan Jom Masjid bakal berlangsung di Dataran Klebang, Melaka pada 2 Jun ini.

Bazar Terima Kasih capai sasaran

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Johan Ishak berkata, sambutan terhadap Bazar Terima Kasih dan Jom Masjid meriah walaupun cuaca mendung serta hujan renyai pada sebelah petang.

“Kami ada dua acara serentak iaitu Bazar Terima Kasih dan Jom Masjid, dulu dikenali sebagai Syukur Selalu yang lebih menyeluruh.

“Objektif program ini mencapai sasaran kerana penaja yang membuka gerai menyerahkan hasil jualan kepada rumah kebajikan terpilih,” katanya.

Katanya, 12 bazar yang dibuka dikendali artis tempatan dengan tema drama lakonan masing-masing sekali gus menarik minat masyarakat setempat.

Selain Amyra, Amar dan Izzue, program ini turut dimeriahkan Farah Nabilah, Abam Bocey, Ashraf Muslim, Cef Fikree, Nina Iskandar, Issey HotFM, Aeril Zafrel, Elisya Sandha, Azrel Ismail dan selebriti media sosial iaitu Makhlok Macho serta adiknya, Afiatul.

Acara bermula dengan selebriti meluangkan masa menjalankan aktiviti gotong-royong selain menyampaikan sumbangan Ramadan dan Aidilfitri di Pertubuhan Anak Yatim Daerah Kuala Muda pada 10 pagi.

Pada sebelah petang, selebriti berkumpul memeriahkan acara penyerahan 2,000 bekas bubur lambuk, jualan bazar dan berjaya mengumpul sumbangan hampir RM7,000 sebelum diserahkan kepada rumah kebajikan sama.

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 9:26am
d