rap

'Kalau bedah tak boleh nyanyi 6 bulan' [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

BIMBANG mengalami perubahan suara dan perlu berehat menyanyi selama enam bulan membuatkan penyanyi, Ismail Izzani mengambil keputusan tidak menjalani pembedahan sakit tonsil dialami.

Ismail atau Nur Ismail Izzani Zainal Nazeri, 18, berkata, dia tidak mahu mengambil sebarang risiko menerusi pembedahan itu sebaliknya selesa untuk menjalani rawatan biasa.

“Sakit tonsil ini sudah ada sejak kecil lagi tetapi paling teruk saya kena Oktober tahun lalu hingga masuk wad selama dua minggu. Ketika itu, tonsil saya bengkak, bernanah dan berdarah.

“Selepas sembuh, Jumaat lalu saya kena balik. Namun saya buat biasa saja dan teruskan berpuasa. Tapi, kelmarin saya memang sudah tidak tahan hinggakan nak telan air liur pun sakit.

“Jadi, saya batalkan puasa dengan minum air dan pergi klinik. Doktor memaklumkan, sakit kali ini bengkak saja dan tidak seteruk tahun lalu. Cuma, saya dinasihati agar menjalani pembedahan bagi mengelakkan ia berulang,” katanya kepada Harian Metro.

Ismail ditemui pada majlis pelancaran program raya Astro semalam berkata, buat masa sekarang dia perlu menjaga pemakanan dan rehat yang cukup.

“Mama pun tidak paksa untuk buat pembedahan. Cuma, dia nasihat agar jaga kesihatan. Insya-Allah saya okey. Lagi pula, sepanjang Ramadan ini saya tidak banyak tawaran membuat persembahan.

“Kalau buat pembedahan, saya kena rehat daripada menyanyi selama enam bulan selain suara berubah. Jadi, saya fikir belum waktu sesuai,” katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 12:47pm
d