rap

Persembahan iftar capai matlamat

Oleh Ramlah Zainal

Bertemakan Nostalgia Jalan Tuanku Abdul Rahman, persembahan iftar Ramadan band rock legenda Wings berjaya mencapai objektif penganjurannya.

Menurut vokalis Wings Datuk Awie, pihaknya bersyukur kerana persembahan berjalan lancar.

“Alhamdulillah, jika tahun lalu kami memilih tema ‘Moroccon Night’, kali ini Nostalgia Jalan Tuanku Abdul Rahman pula.

“Persembahan kali ini lebih meriah dengan rangkaian 15 lagu rancak membabitkan irama heavy metal, joget, reggae dan lagu daripada album Wings terdahulu.

“Saya juga puas dapat menghiburkan tetamu dan ahli kelab peminat pada bulan mulia ini,” katanya.

Lebih bermakna, kata Awie yang tampil segak dengan busana tradisional hulubalang Melayu, program itu turut meraikan anak yatim dan pelajar tahfiz.

“Selain meraikan anak yatim dan pelajar tahfiz, Wings turut menyerahkan sumbangankepada mereka.

“Ia sumbangan ikhlas kami dan tak perlu diuar-uarkan berapa jumlahnya.

“Diharap program in akan menjadi acara tahunan. Insya-Allah, jika ada rezeki Wings akan kembali menjayakan persembahan di Hotel Premiera tahun depan,” katanya.

Logo baru Sayap-Sayap Wings

Pada malam yang cukup bermakna itu juga Wings turut melancarkan logo baru Kelab Peminatnya, Sayap-Sayap Wings yang kini berusia 10 tahun.

Menurut Awie, perjuangan Wings dalam memartabatkan muzik rock juga tidak akan berjaya tanpa sokongan kelab peminat terbabit.

“Walaupun berlaku pergolakan dalaman sebelum ini, Sayap-Sayap Wings terus bertahan atas nama perjuangan dengan pengurusan serta logo baru.

“Kelab peminat ini turut membantu melancarkan segala urusan Wings termasuk jualan tiket persembahan dan bisnes,” katanya.

Mengenai keahlian pula, kata Awie, pihaknya bercadang menambah penyertaan tahun ini.

“Setakat ini, kelab sudah ada 1,000 ahli yang terdiri daripada peminat tempatan, Brunei Darussalam dan Singapura.

“Menyusul selepas ini, Wings merancang mengembangkan ahli kelab peminat di Indonesia pula,” katanya.

Perkembangan lain, Wings bakal muncul dengan single terbaru tidak lama lagi.

“Material untuk single baru sudah ada. Lagu ini mendapat sentuhan Edrie Hashim dan muziknya perlu mendapat persetujuan semua anggota Wings.

“Demi mencari kelainan, ada elemen Jawa dan Jepun dalam single ini. Ia sekali gus membuktikan keunikan Wings yang sudah 33 tahun berjuang dalam arena muzik tanah air,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 11:11am
d